Pernah melihat gelang getah seperti gambar di atas? Gelang getah atau loom band boleh dikatakan sangat popular sebagai aksesori dan mainan kanak-kanak. Loom band atau rainbow loom adalah getah yang ditenun berwarna-warni dan biasanya dapat dilihat sebagai gelang persahabatan (friendship bracelets).
Bukan itu sahaja, gelang tangan ini juga menjadi aksesori pilihan beberapa selebriti seperti David Beckham, One Direction, Harry Styles, Miley Cyrus malah Duke dan Duchess of Cambridge pun memakainya.
Walau bagaimanapun, terkini, pakar perubatan telah menjalankan ujian terhadap keselamatan Loom Band selepas menerima beberapa kes kecederaan melibatkan kanak-kanak. Ada kes cedera dimata termasuk seorang budak lelaki yang hampir kehilangan dua jari selepas getah tersebut dibalut terlalu ketat di sekeliling jarinya. Malah ada kes kanak-kanak menjadi buta terkena getah warna warni ini.
Dr Anne-Marie Houlder dari Stafford and Surrounds Clinical Commissioning Group telah memberi amaran mengenai bahaya loom band yang mungkin mencekik atau masalah peredaran darah sekiranya dipakai terlalu lama dan ketat.
The Birmingham Assay Office iaitu sebuah syarikat bebas yang menguji keselamatan mainan melapurkan bahawa daripada 16 paket yang telah diuji, kebanyakkan daripadanya tidak melepasi tahap keselamatan yang dibenarkan kerana kandungan phthalates yang tinggi di dalamnya. Undang-undang membenarkan kandungan phthalates adalah 0.1 peratus mengikut berat bahan dalam mainan dan barang-barang penjagaan kanak-kanak tetapi dari 16 paket yang diuji, kebanyakkannya mengandungi lebih 50% kandungan phtalates.
Phtalates ialah bahan kimia yang digunakan untuk membuat plastik lebih selamat dan mudah dibentuk tetapi ia juga merupakan karsinogen yang dikawal ketat, terutamanya mainan mudah dimasukkan ke dalam mulut oleh kanak-kanak.
Phthalates, bahan kimia yang mempunyai keupayaan mengganggu hormon, digunakan terutamanya untuk meningkatkan fleksibiliti dan meningkatkan pelbagai ciri-ciri lain plastik.
Yang terkini, peruncit barangan kanak-kanak, The Entertainer telah mengeluarkan gelang getah/loom band dari kedai, selepas disyaki mengandungi bahan kimia karsinogenik. Menurut kenyataan The Entertainer, gelang getah tersebut mungkin mengandungi bahan phthalates yang diharamkan.
Loom band yang menjadi kegilaan golongan kanak-kanak dan remaja di Amerika Syarikat dan Britain telah ditarik balik penjualannya di United Kingdom selepas didapati mengandungi bahan kimia karsinogenik. Pengawalan terhadap produk ini di Malaysia, bagaimanapun, masih tidak jelas, menurut Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia.
Ini kerana loom band, iaitu getah aneka warna ditenun menjadi gelang, tidak dikategorikan sebagai kategori mainan.
“Kita ada Peraturan Standard Keselamatan bagi Mainan Kanak-Kanak 2010 di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Walaubagaimanapun, masalah dengan pengawalan loom band di Malaysia adalah ia perlu diklasifikasikan sebagai mainan sebelum pihak berkuasa boleh berbuat apa-apa,” kata Ketua Pegawai Eksekutif persatuan itu, Ratna Devi Nadarajan.
“Jika produk itu di bawah kategori mainan, tindakan boleh diambil. Tetapi ia masih tidak jelas kerana loom band adalah aksesori dan tidak bertujuan untuk dimasukkan ke dalam mulut,” katanya.
“Ia menjadi satu risiko apabila kanak-kanak tertelan produk itu. Di Kesatuan Eropah dan United Kingdom, pihak berkuasa secara terang-terangan boleh mengenakan larangan kerana mereka telah mengharamkan produk yang mengandungi sejumlah phthalates. Malaysia tidak mengambil tindakan seperti itu,” kata Ratna.
“Manifestasi kanser dan gangguan endokrin akibat terdedah kepada bahan kimia tersebut akan lebih nyata setelah tempoh waktu yang lama. Ia juga bergantung kepada status kesihatan orang yang terdedah kepada dengan kimia itu,” kata beliau, sambil menambah bahawa mesin tenun loom band masih boleh didapati di pasar raya di negara ini.
Apa Itu Karsinogenik?
Mungkin anda pernah mendengar istilah karsinogenik ini? Atau pernahkah anda dinasihatkan untuk tidak memakan atau memakai suatu produk kerana boleh menimbulkan kanser?Sebenarnya apa itu karsinogenik dan apa saja contohnya?
Karsinogenik adalah bahan yang menyebabkan kanser atau meningkatkan risiko timbulnya kanser. Kanser sendiri terjadi akibat perubahan (mutasi) gen (DNA) dari sel-sel tubuh sehingga berkembang menjadi sel abnormal yang tidak akan mati dan tumbuh tanpa boleh dikawal. Bagaimana karsinogenik menimbulkan kanser? Karsinogenik menimbulkan kanser boleh secara langsung, iaitu bahan tersebut menyebabkan perubahan atau mutasi pada DNA sel tubuh dan secara tidak langsung dengan cara mencetuskan pembahagian sel secara cepat sehingga akibat terlalu cepat tersebut terjadi kegagalan mencipta sel yang sempurna dan sel kanser pun timbul.