Orang ramai yang mengunjungi River Safari di Singapura kini boleh menikmati perjalanan menaiki bot pesiaran yang menenangkan sepanjang Empangan Seletar. Nikmati pemandangan indah, langit membiru, hutan hujan tropika yang subur dan peluang melihat haiwan liar dengan pelancaran tarikan terbaharu taman ini – River Safari Cruise.
Perjalanan selama 15 minit ini menawarkan pemandangan indah Empangan Seletar yang merupakan salah satu kawasan takungan air terbesar di Singapura. Ia memberi peluang yang jarang-jarang diperolehi kepada pengunjung untuk berhubung dengan alam semula jadi menerusi pemandangan mengagumkan hutan hujan tropika dan permukaan air yang berkilauan. Dibina pada tahun 1920, empangan ini menakung sehingga 5,000 juta gelen air dan menjadi salah satu daripada empat empangan yang terletak dalam kawasan hutan simpan semula jadi Singapura. Tasik buatan manusia ini bukan sahaja menyediakan air minuman, malah menjadi rumah kepada spesis-spesis haiwan tempatan seperti beruk ekor panjang dan biawak benggala yang tinggal di sana. Sepanjang perjalanan, para pengunjung akan belajar tentang pelbagai jenis flora dan fauna yang ada di sekitar empangan, serta habitat haiwan air tawar.
Bot pesiaran River Safari Cruise menggantikan operasi bot yang sebelum ini ditawarkan di Zoo Singapura. Bot pesiaran ini akan melalui laluan baharu yang menyusuri sepanjang pinggir Zoo Singapura dan Night Safari. Ia memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat haiwan liar seperti zirafah dan badak yang tinggal di hujung taman-taman ini. Pengunjung bertuah mungkin boleh terserempak dengan gajah-gajah yang berjalan di gigi air. Sementara peminat tegar burung pula boleh melihat pelbagai spesis burung, daripada burung botak hinggalah bangau yang berehat di tebing sungai atau bertenggek di dahan-dahan pokok.
Tarikan terkini bot itu membuktikan komitmen Wildlife Reserves Singapore untuk menawarkan pengalaman mengasyikkan melihat haiwan liar dengan cara memperbaharui aspek tarikan dan pamerannya di semua empat tamannya: Taman Burung Jurong, Night Safari, Zoo Singapura dan River Safari yang baru dibuka.
Bot pesiaran ini melengkapkan pengalaman River Safari dan fokus taman terbabit dalam meningkatkan kesedaran mengenai habitat haiwan air tawar.
Bot pesiaran River Safari Cruise beroperasi pada setiap hari mulai jam 9.30 pagi hingga 5.30 petang dan boleh dinaiki dengan bayaran tambahan sebanyak S$5 (dewasa) dan S$3 (kanak-kanak berumur 3 hingga 12 tahun) ke River Safari. Tiket-tiket untuk menaiki bot pesiaran ini boleh dibeli secara dalam talian* atau di Boat Plaza – gerbang kepada dua tarikan bot di taman tersebut.
Setiap bot pesiaran mampu memuatkan sehingga 50 orang penumpang dan boleh diakses oleh pengguna kerusi roda. Tempat duduk adalah terhad dan berdasarkan kepada siapa cepat dia dapat.
RINGKASAN: TARIKAN-TARIKAN BOT RIVER SAFARI
River Safari Cruise | Amazon River Quest | |
Durasi | 15 minit
|
10 minit |
Pengalaman menaiki bot | Bot bergerak perlahan di sepanjang Empangan Seletar yang mempunyai pemandangan indah, langit biru dan hutan hujan tropika yang subur | Perjalanan menyusuri Sungai Amazon yang bengkang-bengkok. Menawarkan pemandangan haiwan darat dan arboreal seperti monyet red howler, jaguar dan tapir Brazil. Nikmati perjalanan yang lancar dan sedikit percikan air.
|
Waktu operasi | 9.30am hingga 5.30pm | 10am hingga 4.30pm
|
Perincian bot / pertimbangan khas | Bot pesiaran berbumbung. Tiada had ketinggian. Bot pesiaran ini boleh diakses oleh pengguna kerusi roda. | Bot tidak berbumbung. Atas faktor keselamatan, para penumpang perlu melepasi had ketinggian minimum iaitu 1.06m
|
Kapasiti | 50 penumpang | 15 penumpang
|
Harga | S$5 (dewasa), S$3 (kanak-kanak berumur 3 hingga 12 tahun), tambahan kepada kemasukan ke River Safari | S$5 (dewasa), S$3 (kanak-kanak berumur 3 hingga 12 tahun), tambahan kepada kemasukan ke River Safari |
*Tiket-tiket untuk River Safari Cruise boleh dibeli secara dalam talian di https://m.wrs.com.sg/ dan disekalikan dengan kunjungan ke River Safari. Tiket River Safari ditawarkan pada harga S$25 (dewasa) dan S$16 (kanak-kanak berumur 3 hingga 12 tahun).