Sepasang suami isteri dilarang menaiki pesawat Air Asia dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu untuk menghadiri majlis pengkebumian bapa atas alasan wanita tersebut sedang sarat mengandung 7 bulan. Walau bagaimanapun, yang menjadi persoalannya adalah pihak Air Asia tiada masalah membenarkan wanita dan suaminya menaiki penerbangan dari Seoul, Korea Selatan pulang ke Malaysia dengan masa penerbangan lebih 5 jam itu.
Berikut adalah kenyataan daripada seorang pengguna Facebook, Anuar Ahmad :
Di KLIA 2 malam ini sepasang suami isteri dan anak kecil sedang berjuang pertahankan hak mereka setelah dihalau keluar dari kapal terbang tambang murah “terhebat di dunia” . Mereka segera pulang dari Seoul ke Kuala Terangganu bila mendapat berita kematian bapa si isteri. Perjalanan dari Seoul ke KL menaiki MAS selama 5 jam berjalan lancar.
Di KLIA Mereka melepasi semua kawalan keselamatan pihak berkuasa airport. Malangnya dihalau keluar dari kapal terbang oleh pilot atas alasan si isteri mengandung dan akan masuk 7 bulan, kesian melihat pasangan ini yang tak sempat menatap wajah arwah bapa yang telah dikebumkan.
Apalah sangat perjalanan 40 minit ke KT berbanding 5 jam yang dibenarkan oleh MAS.. Untuk itu walaupun MAS rugi, pujian saya pada staf MAS yang punyai rasa kemanusiaan yang tinggi.. Tahniah.
[KENYATAAN RASMI] Keselamatan & kesejahteraan para tetamu adalah keutamaan kami dan AirAsia mengikuti garis panduan yang ditetapkan bagi tetamu hamil.
Tetamu tersebut, yang sepatutnya berlepas dengan penerbangan AK6220 dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu pada 21 Jun 2014 didapati hamil 28 minggu dan tidak mendapatkan surat pengesahan doktor yang mengesahkan beliau berada pada tahap kesihatan yang sesuai untuk menaiki penerbangan, seperti yang termaktub dalam terma dan syarat syarikat penerbangan ini. Dengan itu, syarikat penerbangan tidak dapat menerima beliau sebagai tetamu penerbangan itu atas sebab-sebab keselamatan. Walaubagaimanapun, AirAsia telah menyediakan penginapan percuma dan memindahkan penerbangan beliau tanpa caj tambahan, dan tetamu tersebut terbang pulang pada hari berikutnya selepas mendapat surat pengesahan doktor.
Para tetamu yang hamil dikehendaki memaklumkan kepada syarikat penerbangan dan menandatangani Penyata Liabiliti Terhad AirAsia / AirAsia X bagi kandungan yang berusia sehingga 27 minggu.
Bagi kandungan antara 28 minggu – 34 minggu, para tetamu dikehendaki mengemukakan sijil perubatan doktor yang sah yang menyatakan usia minggu kandungan tersebut dan yang bertarikh tidak lebih daripada 30 hari dari sama ada tarikh penerbangan berlepas atau penerbangan masuk. Tetamu juga perlu menandatangani Penyata Liabiliti Terhad selain daripada mengemukakan surat doktor.
Kandungan yang berusia 35 minggu ke atas tidak dibenarkan sama sekali menaiki pesawat bagi keselamatan & kesejahteraan para tetamu dan tetamu lain yang juga berada dalam pesawat.
AirAsia juga ingin menghulurkan rasa simpati kami terhadap tetamu tersebut yang telah kehilangan insan yang disayangi.