Mungkin ramai di antara pembaca yang tidak tahu mengenai faedah yang diperolehi oleh Orang Kelainan Upaya ( OKU ) di Malaysia dan cara untuk mendaftar sebagai salah seorang warga OKU. Kisah seorang ibu yang tergamak meninggalkan seorang anak OKUnya di Nilai baru-baru ini telah menimbulkan pelbagai spekulasi dan persoalan mengenai usaha kerajaan dalam membela nasib mereka ( warga OKU ). Justeri itu, kami ingin berkongsi dengan anda cara untuk mendaftar diri, ahli keluarga atau rakan terdekat yang juga merupakan warga OKU serta faedah yang bakal diperolehi jika mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang disediakan oleh pelbagai agensi di Malaysia.
Pendaftaran Orang Kelainan Upaya
Semua permohonan akan diambil tindakan dalam tempoh 1 bulan dan Kad Pendaftaran Orang Kurang Upaya akan dikeluarkan dalam tempoh 2 bulan dari tarikh permohonan diterima. Ianya dilaksanakan secara sukarela di mana-mana Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah. Mereka akan didaftarkan mengikut empat kategori utama kurang upaya seperti kurang upaya anggota, kurang upaya penglihatan, kurang upaya pendengaran dan kurang upaya akal.
Kad Kenal Diri Orang Kelainan Upaya
Jabatan mengeluarkan Kad Kenal Diri Orang Kurang Upaya untuk memudahkan pengenalan supaya mereka mendapat perkhidmatan yang cepat/ lebih baik dan akses kepada kemudahan-kemudahan awam.
Borang Pendaftaran Orang Kelainan Upaya – KLIK SINI
Permohonan Pendaftaran :
- Permohonan boleh dibuat di mana-mana Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian.
- Menggunakan borang tersebut di atas.
- Menggunakan 1 keping gambar ukuran passport dan dokumen sokongan seperti Sijil Kelahiran/MyKid/MyKad
Syarat Pendaftaran :
• Warganegara yang bermastautin di Malaysia
• Telah disahkan / diperakui oleh Pegawai Perubatan Hospital Kerajaan / Pakar Psikiatri atau Pakar Perubatan Swasta.
Kategori OKU
1. PENDENGARAN
Kurang Upaya Pendengaran bermaksud tidak dapat mendengar dengan jelas di kedua-dua telinga tanpa menggunakan alat bantu pendengaran atau tidak dapat mendengar langsung walaupun dengan menggunakan alat bantu pendengaran. Kurang upaya pendengaran boleh dibahagi kepada empat tahap, iaitu :-
• Minimum 15 – < 30dB (kanak-kanak)
• 20 – < 30dB (orang dewasa)
• Sederhana 30 – < 60dB
• Teruk (severe) 60 – < 90dB
• Sangat teruk (profound) ≥ 90dB
2. PENGLIHATAN
Kurang Upaya Penglihatan bermaksud buta kedua-dua belah mata ATAU buta di sebelah mata ATAU penglihatan terhad di kedua-dua belah mata ATAU lain lain gangguan penglihatan kekal. Kurang upaya penglihatan boleh dibahagi kepada:-
• Terhad bermaksud penglihatan lebih teruk dari 6/18 tetapi sama dengan atau lebih baik daripada 3/60 walaupun dengan menggunakan alat bantu penglihatan atau medan penglihatan kurang dari 20 darjah dari fixation.
• Buta bermaksud penglihatan kurang daripada 3/60 atau medan penglihatan kurang dari 10 darjah dari fixation.
** Kurang daripada 3/60 ialah Counting Fingers (CF), Hand Movement(HM), Perception of Light (PL) dan No-Perception Light (NPL).
Lain-lain gangguan penglihatan kekal (hanya boleh disahkan oleh Pakar Oftalmologi)
3. PERTUTURAN
Kurang Upaya Pertuturan bermaksud tidak boleh bertutur sehingga menyebabkan gangguan berkomunikasi dengan sempurna dan tidak boleh difahami oleh mereka yang berinteraksi dengannya. Keadaan ini adalah kekal atau tidak akan sembuh. Bagi kanak-kanak mestilah berdasarkan penilaian pada umur lima tahun ke atas. Sekiranya ada kemusykilan, Pakar Otorinolaringologi hendaklah dirujuk.
4. FIZIKAL
Kurang Upaya Fizikal bermaksud ketidakupayaan kekal anggota badan sama ada disebabkan oleh kehilangan ATAU ketiadaan ATAU ketidakupayaan mana-mana anggota badan yang boleh menjejaskan fungsi mereka dalam melakukan aktiviti asas sepenuhnya. Aktiviti asas yang dimaksudkan ialah seperti penjagaan diri, pergerakan dan penukaran posisi tubuh badan. Keadaan ini boleh terjadi akibat daripada kecederaan (trauma) atau penyakit pada mana-mana sistem saraf, kardiovaskular, respiratori, hematologi, imunologi, urologi, hepatobiliari, muskuloskeletal, ginekologi dan lain-lain yang menyebabkan ketidakfungsian. Contoh penyebab ketidakupayaan ini adalah:
- Limb defects (congenital/acquired), termasuk kehilangan ibu jari tangan
- Spinal Cord Injury
- Stroke
- Traumatic Brain Injury
- Kerdil (Achondroplasia) iaitu ≤ 142cm bagi lelaki dan ≤ 138cm bagi wanita
- Cerebral Palsy
Nota:
Individu yang mengalami keadaan kekurangan (impairment) tanpa menjejaskan fungsi, contohnya kehilangan jari, mempunyai lebih jari (polydactyly) dan tidak ada atau tidak sempurna cuping telinga tidak dipertimbangkan bagi tujuan pendaftaran.
MASALAH PEMBELAJARAN
Masalah Pembelajaran bermaksud masalah kecerdasan otak yang tidak selaras dengan usia biologikalnya. Mereka yang tergolong dalam kategori ini ialah Lewat Perkembangan Global, Sindrom Down dan kurang upaya intelektual. Kategori ini juga merangkumi keadaan yang menjejaskan kemampuan pembelajaran individu seperti autisme (autistic spectrum disorder), Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan masalah pembelajaran spesifik seperti (dyslexia, dyscalculia dan dysgraphia).
MENTAL
Kurang Upaya Mental merujuk kepada keadaan penyakit mental yang teruk menyebabkan seseorang itu tidak berupaya berfungsi sama ada sebahagian atau sepenuhnya dalam hal berkaitan dirinya atau perhubungan dalam masyarakat.
Di antara jenis-jenis penyakit mental tersebut ialah Organic Mental Disorder yang serius dan kronik, Skizofrenia, Paranoid, Mood Disorder (depression, bipolar) dan other Psychotic Disorder seperti Schizoaffective Disorder dan Persistent Delusional Disorders.
Nota:
Klien mestilah telah menjalani rawatan psikiatri sekurangkurangnya dua tahun.
Pakar Psikiatri akan menentukan tahap kefungsian sosial, kognitif dan kawalan tingkah laku pesakit terjejas dengan ketara atau teruk sebelum beliau dipertimbangkan bagi tujuan pendaftaran OKU.
PELBAGAI(MULTIPLE DISABILITIES)
Kurang Upaya Pelbagai (Multiple Disabilities) bermaksud mempunyai lebih daripada satu jenis ketidakupayaan dan secara umumnya tidak sesuai diklasifikasikan dalam kategori I hingga VI.
Berikut adalah manfaat OKU yang berdaftar dengan JKM mengikut agensi-agensi terpilih di Malaysia
1. Jabatan Kebajikan Masyarakat
1) Bantuan am;
2) Elaun Pekerja Cacat;
3) Geran Pelancaran;
4) Bantuan alat tiruan/sokongan;
5) Pusat Pemulihan Dalam Komuniti;
6) Institusi Penjagaan dan Pemulihan JKM;
7) Bengkel Terlindung;
8) Pendaftaran dan pengeluaran kad kenal diri OKU;
9) Khidmat Nasihat dan Kaunseling;
10) Bantuan bagi OKU yang Tidak Berupaya (BTB) akan mendapat bantuan kewangan RM150.00 sebulan; dan
11) Bantuan Penjagaan OKU Terlantar (BPOKUT) akan mendapat bantuan kewangan sebanyak RM300.00 sebulan.
2. Agensi Keselamatan Negara
Jabatan Pendaftaran Negara
Pengecualian bayaran membuat MyKad dan carian daftar kelahiran dan kematian
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri/ Jabatan Imigresen
Pengecualian bayaran dokumen perjalanan (Pasport)
3. Pendidikan
1. Kementerian Pelajaran
a) Program Pendidikan Khas (Bahagian Pendidikan Khas);
b) Program Pendidikan Integrasi; dan
c) Elaun RM50.00 sebulan kepada pelajar Sekolah Rendah dan Menengah
2. Kementerian Pengajian Tinggi (Bahagian Biasiswa)
a) Bantuan Kewangan Pelajar OKU IPT
– Diberikan kepada pelajar OKU yang mengikuti pengajian peringkat tertiari (Diploma ke atas) secara sepenuh masa di IPTA, IPTS, politeknik dan kolej komuniti.
– Kadar bantuan kewangan sebanyak RM300.00 sebulan. Bayaran dibuat sekali berdasarkan tuntutan yang dibuat pada setiap semester melalui institusi pengajian.
– Maklumat lanjut di laman web:
http://www.mohe.gov.my/webkpt_v2/elaunOKU.php?m=3&navcode=NAV004&subcode=SUB005
b) Bantuan Kewangan Program Pendidikan Khas di Politeknik/Kolej/Komuniti
– Diberikan kepada pelajar OKU (kurang upaya pendengaran) yang mengikuti program pendidikan khas (sijil kemahiran khas) di politeknik terpilih.
– Kadar bantuan adalah RM3360/semester, mengambil kira bantuan yuran, sara hidup, penginapan dan alat bantuan belajar.
c) Saluran khas bagi pengambilan OKU di IPTA
– Pengambilan pelajar OKU dibuat menerusi saluran khas (tanpa perlu bersaing dengan kategori biasa) yang hanya berdasarkan kelayakan minima sahaja
– Penempatan universiti disesuaikan dengan kemudahan dan bidang yang disediakan oleh IPTA
3. Universiti Terbuka Malaysia
50% potongan yuran pengajian
4. Kesihatan
Kementerian Kesihatan
Pengecualian bayaran rawatan perubatan:
– Bayaran wad kelas 3
– Bayaran pakar
– Bayaran ubat
– Hanya hospital kerajaan sahaja
5. Pengangkutan
Kementerian Pengangkutan
1) Jabatan Pengangkutan Jalan
– Pengecualian Cukai Jalan
– OKU Fizikal
– Kereta, van, motosikal buatan tempatan sahaja
2) Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Semenanjung Malaysia
Kemudahan Pengangkutan Awam
– Potongan harga sebanyak 25% diberikan kepada OKU dan warga tua yang berumur 60 tahun ke atas bagi semua bas ekspress (mulai 20 Julai 2009)
– MAS 50% penerbangan domestik
– KTM 50% bagi semua kelas
6. Kerjaya
1. Kementerian Sumber Manusia/ Jabatan Tenaga Kerja
a) Kemudahan peluang pekerjaan
– Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3/2008: dasar 1% peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada OKU
– Perkhidmatan pendaftaran pekerjaan secara online
b) Geran galakan perniagaan OKU
– Telah berniaga
– Usia 18 tahun ke atas
– Individu dan berkelompok
– Geran berbentuk one-off
2. Jabatan Perkhidmatan Awam
a) Pencen terbitan (Bahagian Pencen)
Anak penjawat awam yang telah meninggal dunia
b) Waktu bekerja anjal
Kemudahan kepada kakitangan awam untuk menguruskan kebajikan dan keperluan anak OKU
7. Komunikasi
Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi/ Telekom Malaysia
Kemudahan Telekom Malaysia (TM) di bawah Pakej Penyayang
a) Percuma untuk sewa bulanan perkhidmatan talian telefon kediaman sahaja;
b) Percuma untuk panggilan ke Perkhidmatan Panduan Direktori Telefon (103); dan
c) Percuma untuk perkhidmatan telefon Kemudahan Tambahan samada Panggilan menunggu atau Pemindahan Panggilan
Syarat-syarat untuk melanggani kemudahan ini adalah seperti berikut:
1. Hanya layak kepada OKU yang berdaftar dengan JKM sahaja.
2. OKU warganegara Malaysia dan berumur 18 tahun ke atas.
3. Jika pemohon OKU berumur kurang dari 18 tahun, mereka boleh memohon untuk mendaftarkan talian telefon atas nama ibu/bapa atau penjaga yang sah dan berumur 18 tahun ke atas dengan mendapat pengesahan yang bercop daripada JKM, jabatan kerajaan atau ketua kampung.
4. Pemasangan perkhidmatan telefon di bawah pakej ini hanya layak dipasang di premis kediaman dan dimana pemohon OKU tinggal.
5. Tempoh perjanjian perkhidmatan telefon bagi pendaftaran pakej ini adalah selama satu (1) tahun.
6. Kelayakan pakej akan terbatal sekiranya pelanggan baru atau sedia ada didapati melanggar syarat dan peraturan seperti yang dinyatakan.
8. Pengecualian/ Pelepasan Cukai
Kementerian Kewangan
1) Pengecualian duti impot alat ganti alat tiruan/ sokongan; dan
2) Pengecualian 50% duti eksais kenderaan OKU
– OKU Fizikal sahaja
– Ada lesen memandu yang khas
– Kereta nasional sahaja
– Tidak boleh pindah milik atau jual selama 10 tahun kecuali dengan kebenaran Kementerian Kewangan.
– Sebuah kereta setiap 10 tahun
Lembaga Hasil Dalam Negeri
Kemudahan dan galakan pelepasan cukai pendapatan:
1) Pelepasan cukai berganda kepada majikan yang melatih dan mengambil pekerja OKU.
2) Pelepasan cukai sebanyak RM5,000 kepada pembayar cukai yang mempunyai anak OKU.
3) Pelepasan cukai sehingga RM5,000 bagi membeli alat khas untuk kegunaan sendiri, anak atau ibubapa OKU.
4) Mulai 2005 pelepasan cukai diri sebanyak RM6,000 kepada OKU dan kepada pasangan OKU dari RM3,000 kepada RM3,5000.
9. Perumahan/Bangunan
Kementerian Kewangan (Syarikat Perumahan Negara)
– Potongan harga 20% pembelian rumah.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
-Kadar sewa yang rendah.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan/ Majlis Kerajaan Tempatan
Kod amalan akses bagi OKU:
– Bangunan baru wajib ada ram dan railings
– Laluan yang bersesuaian dengan kerusi roda
– Lif khas dengan rekabentuk yang sesuai
– Tempat letak kereta, tandas khas dsbnya.