Tiga produk pelangsingan badan Collagen Slim, Beautiful Body Slim dan Figure Up didapati mengandungi bahan racun berjadual sibutramine. Oleh itu, orang ramai dinasihati menghentikan segera pengambilan produk ini.
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Datuk Eisah Abdul Rahman, berkata badan peraturan ‘Australia, Therapeutic Goods Administration’ (TGA) mendapati Collagen Slim, Beautiful Body Slim dipromosi dan dipasarkan melalui internet untuk kecantikan serta penurunan berat badan.
Manakala produk pelangsingan badan, Figure Up pula, Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan menerima laporan dua pengguna berusia 14 dan 38 tahun yang mengalami sawan selain pendarahan ulser duodenal.
Sibutramine adalah ubat terkawal yang digunakan untuk rawatan obesiti tetapi pendaftaran ubat mengandungi bahan terbabit ditarik balik di Malaysia pada 23 Disember 2012 kerana peningkatan risiko kesan advers kardiovaskular. Menurutnya, kesan lain adalah peningkatan tekanan darah dan denyutan jantung, kering mulut dan tekak, cirit-birit, pening, sakit kepala, sukar tidur, sawan dan pendarahan dalaman.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak terlibat supaya menghentikan jualan produk itu atau berhadapan tindakan dibawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Justeru, beliau menyeru orang ramai supaya berhati-hati dalam melakukan pembelian ubat-ubatan melalui internet kerana kualiti dan keselamatan kebanyakan produk terbabit sukar dipastikan.