Sebelum ini buku keluaran penerbitan yang sama telah meletakkan lambang salib di dalam buku belajar jawi kanak-kanak. Gambar ini kami kongsikan dari seorang blogger Mohd Zaid dimana anak buahnya telah membeli buku “My Little Board Book – Belajar Jawi” untuk menjadi titik permulaan belajar huruf jawi. Bayangkan buku ejaan untuk kanak-kanak telah disajikan dengan visual dan contoh yang sangat tidak sesuai dan agak keterlaluan. Malah, ianya tidak bersesuaian dengan usia mereka yang masih kecil. Luaran buku ini kelihatan elok sahaja dengan saiz kecil sesuai untuk kanak-kanak mempelajari ejaan tetapi apabila buka contoh serta visual yang diberikan kelihatan mencurigakan.
Kali ini, Buku Belajar ABC dari keluaran yang sama memberikan contoh huruf Z bersamaan dengan ZAKAR, boleh dikatakan agak keterlaluan dibaca oleh kanak-kanak malah visual yang ditunjuk juga agak terang dan jelas. Gambar diatas diambil di salah satu pusat membeli belah berdekatan Stadium Shah Alam, Selangor. Buku Belajar ABC didapati dijual secara terbuka dengan harga RM5.99 di kedai-kedai buku ketika ini.
Persoalannya, bagaimana buku seperti ini boleh mendapat kelulusan penerbitan? Jika ada kelulusan, penerbitan harus tarik balik keluaran buku ini, khuatir ianya hanya akan merosakkan fikiran budak-budak di usia muda mereka lagi.