Gambar yang kami kongsikan ini bukanlah situasi gelandangan di luar negara. Gambar anak-anak yang tidur di tepi jalan ini ditangkap di Kuala Lumpur oleh sekumpulan sukarelawan bersama pelajar KUIS semasa mereka mengadakan sesi dakwah gelandangan. Anak-anak seramai empat orang ini berusia 5 tahun hingga 10 tahun ini bersama-sama dengan ibubapa mereka telah dilihat tidur di tepi jalan beralaskan suratkhabar dan bangku simen. Apabila ditanya oleh sukarelawan, pasangan suami isteri ini tidak mampu menyewa rumah jadi mereka mengambil keputusan untuk tidur di tepi jalan bersama dengan anak-anak mereka.
Ini adalah realiti kehidupan di bandaraya Kuala Lumpur dan kawasan di mana gelandangan ini tumpang ‘berehat’ dan tidur adalah di sekitar Hentian Puduraya, Kompleks Daya Bumi, kompleks Kotaraya dan kawasan lapang perhentian bas. Ada di antara mereka yang mempunyai pekerjaan tetap tetapi tidak mampu menyewa rumah dengan gaji yang tidak seberapa, ada penganggur, ada yang dibuang keluarga, ada juga remaja yang lari dari rumah kerana masalah keluarga, dan ada juga gelandangan yang terlibat dengan najis dadah serta jenayah kecil. Gelandangan ini bukan saja terdiri daripada rakyat tempatan, malah ada juga warga asing yang tidak mempunyai pekerjaan angkara ditipu majikan.
Dengan taraf hidup di kotaraya yang semakin tinggi, semakin ramai yang terdesak dan mengalami kesempitan hidup. Organisasi bukan kerajaan telah banyak melakukan pelbagai program dan aktiviti untuk membantu dan memantau golongan ini dengan menyediakan makanan dan pelbagai kelas khas untuk membantu mereka. Mungkin kerajaan perlu memperhebatkan lagi usaha untuk membanteras masalah miskin bandar yang semakin meningkat di Malaysia terutamanya di bandar-bandar besar.