Setiap insan impikan sebuah keluarga yang sempurna, punyai isteri yang baik mahupun suami yang baik juga ada anak melengkapi sebuah rumah tangga. Tetapi apa akan berlaku jika salah seorang tidak seperti yang kita inginkan. Si suami selama ini lebih berminat pada insan sejantina.
Marina, 30 tahun menghadapi masalah apabila mendapati suaminya lebih berminat dengan kaum sejenis. Biarpun usia perkahwinan sudah menjangkaui empat tahun namun suaminya masih tidak berubah menyebabkan rumah tangga mereka hancur. Malah, Marina mengakui dirinya masih dara walau tinggal sebumbung dan tidur bersama suaminya.
Menurut Marina yang kini tinggal bersama keluarga di salah sebuah daerah di negeri ini, dia mula mengenali dan rapat dengan bekas suaminya yang dua tahun lebih tua daripadanya ketika bekerja di sebuah syarikat swasta di negeri ini. Pada awal pengenalan, dia menyedari lelaki tersebut mempunyai sifat meragukan menerusi gerak-geri serta pergaulan sepanjang berkawan dengannya. Malah, saudaranya juga ada memberitahu mengenai perangai lelaki berkenaan semasa sekolah dahulu yang sukakan rakan sejenis.
“Pada mulanya niat saya baik, mahu mengubah dirinya supaya menjadi seorang lelaki sejati biarpun tahu dia bersifat begitu. Kami mengikat pertunangan pada 2006 dan pernah hampir putus asa dan mahu putus tunang tapi tidak jadi. Sehinggalah kami berkahwin pada Mei 2007,” katanya.
“Dia romantik pun bila kami sambut hari jadi atau ulangtahun perkahwinan apabila suami belikan kek dan kami rai bersama. Kami hanya tidur umpama adik beradik, seolah-olah tiada apa yang berlaku. Cuma dia hanya akan mencium pipi saya setiap kali mahu keluar pergi kerja,” katanya.
Marina berkata, dia mula tertekan apabila dimarahi dan mula diugut akan diceraikan menyatakan keinginan untuk mendapatkan anak. Malah, tambah menyakitkan hati apabila dia lebih rapat dengan kawan lelaki yang mempunyai hubungan luar biasa.
Akibat tidak tahan dengan keadaan itu, katanya, dia terpaksa memohon agar suami melepaskan dirinya. Dia melahirkan rasa kesal dengan perkahwinannya itu tetapi apa yang mampu dilakukan kerana semua yang berlaku adalah suratan takdir. – via