Berita & Isu Semasa, Pilihan

[ Isu Semasa ] Datuk Dr Hasan Ali : “UMNO dan PAS harus bersatu sekat DAP”

Aida Sue
/
Seorang pencinta sosial media, Aida Sue bukan hanya menulis, tetapi juga seorang tweep dan Instagrammer yang setia. Suka makan, fesyen, kopi dan melancong. Twitter/Instagram : @AidaSue
[ Isu Semasa ] Datuk Dr Hasan Ali : “UMNO dan PAS harus bersatu sekat DAP”

Hasan-ali-umno-pas-bersatu

Presiden JATI Datuk Dr Hasan Ali hari ini mencadangkan supaya usaha dibuat untuk mewujudkan gabungan kerjasama antara PAS dan Umno sebagai langkah menyekat kemaraan DAP. Beliau berkata keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) semalam sepatutnya membuka ruang lebih luas untuk diadakan perbincangan serius berhubung kerjasama antara kedua-dua parti itu.

Keputusan PRU13 menyaksikan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Umno, kembali berkuasa setelah memenangi 133 kerusi parlimen, diikuti DAP (38), PKR (30) dan Pas (21). Hasan menarik perhatian berdasarkan keputusan pilihan raya itu, jelas kelihatan kehadiran Pas dalam pakatan rakyat hanya menguntungkan DAP, bukan sebaliknya.

Menurutnya, pengundi Melayu atas nama setiakawan pakatan rakyat memberi undi kepada DAP di Gelang Patah tetapi di kebanyakan tempat dengan minoriti Cina, keadaan serupa tidak berlaku dan menyebabkan calon Pas kecundang di kawasan-kawasan berkenaan. Perebutan bagi kerusi parlimen Gelang Patah di Johor menyaksikan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman dikalahkan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Hasan turut berkata kegagalan memperoleh mandat dua pertiga di pihak BN menunjukkan mungkin sudah sampainya BN dan Umno bermuhasabah untuk mengenal pasti dan memperbaiki segala kelemahan supaya selari dengan kehendak dan aspirasi majoriti pengundi dan penyokong mereka.

Dalam pada itu, Ketua Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menerima suara rakyat yang disalurkan melalui PRU13 walaupun kecewa dengan keputusan itu.  Menurutnya, segala permintaan untuk menambah baik proses pilihan raya dan amalan demokrasi di negara ini telah dituruti kerajaan, namun masih ada yang mempertikai keputusan suara rakyat pada PRU13.

“Kita nak bekerja dan memenuhi mandat diberi rakyat dan bukan terus menerus bergaduh macam ni yang hanya akan merugikan negara. BN pun bukan menang besar, tapi kita terima hakikat itu kehendak rakyat,” kata Syed Ali.
– Bernama

Leave a Reply
Your email address will not be published. *