Info Menarik, Pilihan, Review, Review - Lain-lain, Tips

[Review Percutian] Pelayaran kapal mewah Superstar Libra Dari Penang Ke Phuket Dan Krabi ( 25 gambar )

Aida Sue
/
Seorang pencinta sosial media, Aida Sue bukan hanya menulis, tetapi juga seorang tweep dan Instagrammer yang setia. Suka makan, fesyen, kopi dan melancong. Twitter/Instagram : @AidaSue
[Review Percutian] Pelayaran kapal mewah Superstar Libra Dari Penang Ke Phuket Dan Krabi ( 25 gambar )

Sebelum ini kami telah mengeluarkan dua artikel mengenai percutian kapal mewah dari Pulau Pinang ke lokasi yang terkenal di Thailand iaitu Phuket dan Krabi bersama angkasawan negara, Dato’ Sheikh Muszaphar Shukor dan peminat beliau.

Baca disini 

1) Bercuti bersama Angkasawan Negara Dato’ Dr Sheikh Muszaphar Shukor

2) Gambar Percutian Eksklusif Angkasawan Negara Bersama Peminat Ke Phuket Dan Krabi

Kali ini kami ingin berkongsi artikel mengenai review percutian kami di atas kapal mewah itu pula. Kapal yang diberi nama Superstar Libra ini mempunyai kapasiti 1406 penumpang dan mempunyai 703 kabin. Kabin ini mempunyai pelbagai jenis yang boleh anda pilih iaitu Executive Suite, Junior Suite, Deluxe Oceanview Stateroom, Oceanview Stateroom with Window, Oceanview Stateroom with Porthole, Inside Stateroom. Pelayaran mewah ini berlepas di Swettensham piers, Pulau Pinang. 

Ini merupakan pemandangan di dalam kapal Superstar Libra yang sangat cantik. Ia mempunyai 8 tingkat ( dok ) dan 2 tingkat teratas mempunyai pelantar dan kolam renang yang boleh digunakan oleh pelancong untuk beriadah dan mengambil angin. Semasa berada di atas kapal, anda mempunyai pilihan sama ada untuk mengambil bahagian di dalam aktiviti yang disediakan di atas kapal ataupun turun ke Phuket dan Krabi.

Ada tempat beriadah seperti court bola keranjang
Di lobi Superstar Libra
BBQ di dok 7. Pelbagai makanan disediakan termasuk masakan barat, tempatan, vegetarian dan juga chinese food.

Mengenai aktiviti di SuperStar Libra, kapal mewah itu menawarkan hiburan dari semasa ke semasa bergantung kepada had umur pelancong. Kanak-kanak berpeluang mempelajari seni dan kraf seperti membuat origami, deko kek cawan serta lukisan wajah.

Hiburan malam dengan barisan penghibur adalah kru kapal manakala jemputan istimewa penyanyi dan penari dari luar negara seperti Shelly Dartez dan Westley Stevens. Persembahan itu di adakan di Stardust Lounge dengan beberapa tema seperti Show Time (Ultimate 80’s) menampilkan persembahan ala 80-an. Jika gemarkan suasana santai diiringi alunan suara ‘liveband’, lokasinya di Galaxy of the Stars dengan pelbagai muzik terbaru.

Di ruang atas yang terbuka, ia menempatkan beberapa restoran berbayar bersama pusat kecergasan, spa serta lounge. Ia turut mempunyai salun rambut dan kecantikan, perpustakaan mini, pusat kesihatan, galeri foto serta pusat penjagaan kanak-kanak dari satu hingga empat tahun dan lima hingga 12 tahun dengan bayaran antara RM10 hingga RM15. Pelancong yang memerlukan capaian Internet boleh berbuat demikian di Kafe Internet, namun untuk mengaksesnya dikenakan caj 56 sen seminit.

Ports O’ Call atau kedai cenderahati turut menjual pelbagai barangan lain seperti pakaian pantai, beg, makanan ringan dan permainan. Aktiviti juga tidak terhad di atas kapal semata-mata kerana SuperStar Libra turut menyediakan lawatan ke Phuket yang dianjurkan pada hari kedua pelayaran.  Kebanyakan pelancong mengambil kesempatan membeli-belah di Pantai Patong yang menjual pelbagai barangan. ( info Harian Metro )

Rentetan percutian ke Phuket dan Krabi dengan pelayaran eksklusif Superstar Libra

Percutian selama 4 hari 3 malam ini akan belayar pada pukul 5 petang hari pertama dan sampai ke pantai Patong di Phuket Thailand lebih kurang pukul 1030 pagi. Anda boleh turun ke pantai dari pagi hingga tengah malam.  Jangan risau, akan ada bot-bot kecil yang menghantar anda dari kapal Superstar Libra hingga ke pantai. Di Phuket, anda bebas pergi bersiar-siar dan menikmati pemandangan indah di sana. Kemudian pelayaran akan diteruskan ke Krabi pula. Semasa pelayaran ini, anda bolehlah menikmati makanan ala buffet yang disediakan di atas kapal. Anda akan dihidangkan dengan sarapan pagi di tingkat 7, makan tengah hari dan juga makan malam dan jadi disitu, anda boleh berjimat kerana tidak perlu berbelanja untuk makan di Phuket dan Krabi.

Kapal pengantara antara Superstar Libra dan juga pantai di Phuket serta Krabi

Antara tempat menarik yang boleh anda lawati di Phuket adalah Wang Talang, bandar Phuket, Expo Market dan juga pantai Patong. Apabila sampai di Krabi lebih kurang pukul 10 pagi pada hari ketiga, anda juga bebas bersiar-siar di kawasan pelancongan yang ada di Krabi atau mengambil bahagian di dalam aktiviti yang disediakan di atas kapal.

Antara tempat menarik yang boleh anda lawati di Krabi adalah  Tiger Cave Temple, Khao Knanap Nam dan Pantai Ao Nang. Selepas penat membeli belah dan bersiar-siar di Krabi, pada malam terakhir pula akan diadakan Captain Gala Night Dinner dimana semua pelancong akan diminta untuk memakai pakaian smart casual dan makan malam bersama kapten kapal. Anda akan tiba semula di Pulau Pinang pada pukul 12 tengahari hari yang keempat.

Tips 

1) Tukar wang siap-siap di Malaysia

2) Semasa makan malam BBQ pada hari pertama di atas kapal, air yang disediakan adalah berbayar. Jadi, anda disarankan untuk membawa air mineral yang dibekalkan di bilik masing-masing ya. Hehe!

3) Bawa ubat-ubatan untuk mengelakkan dari mabuk laut. Walaupun kapal Superstar Libra ini tidak bergoyang ( maklumlah, kapal besar ) , takut juga kalau-kalau ada yang tidak biasa.

4) Anda dinasihatkan supaya memakai sandal dan bukan kasut bertumit tinggi, untuk memudahkan pergerakan.

5) Bangun awal sekitar jam 6-7 pagi untuk mengambil gambar matahari terbit. Pemandangan dari atas kapal sangat menakjubkan!

 Harga dan pakej 
Anda boleh mendapatkan pakej istimewa di laman web kupon seperti Groupon atau boleh menghubungi agensi pelancongan di bawah untuk mendapatkan harga yang istimewa. :)

Agensi pelancongan : Agen Bagus Holiday Puan Anita Annuar di talian 03-21665555/017-24251855 atau emej di enquiry@cutibagus.com.my. Anda juga boleh lawati laman web www.cutibagus.com.my

Bagus Holiday HQ di G7, Plaza Mentari Jalan Kuning, Taman Pelangi, Johor Bahru. Di Kuala Lumpur : Suite 17.01, tingkat 17, Wisma MCA , Kuala Lumpur.

Harganya pula di antara RM800 hingga RM2000 seorang.

Gambar di Phuket Thailand

Gambar di Krabi Thailand

 Jika ada sebarang komen atau soalan, tanya di bawah ya? Selamat bercruise!

Komen Anda