Berita & Isu Semasa, Pilihan

[Isu Semasa] 13.6% Kanak-kanak 1Malaysia gemuk dan obesiti

Aida Sue
/
Seorang pencinta sosial media, Aida Sue bukan hanya menulis, tetapi juga seorang tweep dan Instagrammer yang setia. Suka makan, fesyen, kopi dan melancong. Twitter/Instagram : @AidaSue
[Isu Semasa] 13.6% Kanak-kanak 1Malaysia gemuk dan obesiti

 

Peningkatan masalah obesiti di kalangan kanak-kanak berusia tujuh hingga 10 tahun menunjukkan peratusan membimbangkan.
Kajian Keutamaan Nutrisi di Malaysia dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) mendapati kadar kegemukan kanak-kanak meningkat daripada 6.6 peratus kepada 13.6 peratus.  Kajian juga menunjukkan 25 daripada 100 pelajar di negara ini dikhuatiri akan mengalami masalah kegemukan pada 2020.

Ia berdasarkan trend peningkatan satu peratus kes obesiti pelajar setiap tahun. Kajian pada 2009 menunjukkan 10 peratus atau 1,150 daripada 11,500 kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun mengalami masalah kegemukan, manakala enam peratus (690 kanak-kanak) mengalami obesiti.

Satu kajian lain di Kuala Lumpur membabitkan 5,995 kanak-kanak berusia tujuh hingga 10 tahun pula mendapati murid lelaki mengalami peratusan berat paling tinggi iaitu 9.7 peratus berbanding 7.1 peratus murid perempuan.

Sekurang-kurangnya 10 daripada 40 murid di dalam satu kelas mengalami masalah kegemukan, tidak aktif dan berisiko berpenyakit, katanya.

Untuk menangani masalah kegemukan dan obesiti murid, Kementerian Pelajaran telah melaksanakan program sukan dan kegiatan kokurikulum iaitu seperti Dasar 1Murid 1Sukan. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Kementerian juga memperkenalkan biasiswa sukan kepada pelajar cemerlang dalam bidang sukan, sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Ia sebagai menghargai jasa dan pengorbanan atlit sekolah yang berjaya mengharumkan nama negara dalam bidang sukan masing-masing.

Semestinya golongan dewasa yang menghadapi masalah obesiti mencari alternatif terbaik untuk mengurangkan berat badan. Bagi kanak-kanak pula, masalah obesiti mereka kebanyakan dibiarkan oleh ibu bapa mereka. Ibubapa perlu memainkan peranan untuk mengawal berat badan anak mereka supaya tidak memudaratkan mereka. Jangan serahkan tanggungjawab kesihatan kanak-kanak anda kepada pihak ketiga seperti pengasuh, cikgu sekolah mahupun orang gaji. Kalau lah anda betul-betul sayangkan anak anda, pastikan berat badannya pun dalam kawalan anda.


 

Komen Anda