Wanita diceraikan hanya kerana perkara remeh? Ini kisah dua wanita yang terpaksa mengharungi detik hitam apabila diceraikan oleh si suami hanya kerana perkara yang tidak munasabah.
Kisah 1
Wanita yang hanya dikenali sebagai Nadia berusia awal 20-an baru melangsungkan perkahwinan tahun lalu kini berdepan kemungkinan meneruskan hidup sebagai janda selepas suaminya memfailkan perceraian hanya kerana dia tidak tahu memasak.
Malah, sangat mendukacitakan apabila perbicaraan fail perceraian jatuh pada bulan sambutan ulang tahun sulung perkahwinan pasangan tpada Mei depan.
“Saya memang terkejut sebab sebelum ini kami tak bergaduh. Tiba-tiba saja pada 6 April lalu, bapa mentua yang datang ke rumah orang tua saya (di sebuah kawasan perumahan selatan Selangor) memaklumkan kepada keluarga saya yang dia membawa suami saya memfailkan perceraian di mahkamah tiga hari sebelum kedatangannya.
“Alasan diberikan untuk bercerai kononnya saya tak tahu memasak. Saya sangat sedih sebab keluarga mentua membelakangkan saya sebelum membuat keputusan berkaitan hidup saya,” katanya yang berharap dapat membuat persediaan mental dan fizikal untuk perbicaraan kes itu bulan depan.
Kisah 2
Seorang ibu tunggal yang hanya dikenali sebagai Nora diceraikan hanya kerana menyapu ubat di mata suaminya. Kedengaran tidak masuk akal memandang ianya perkara remeh.
“Saya sendiri terkedu diceraikan talak tiga sekali gus hanya kerana dia (bekas suami) sakit mata,” kata ibu tunggal menceritakan rumah tangganya musnah berpunca daripada sebab yang tidak masuk akal.
Nora, 27, berkata bekas suaminya mengalami sakit mata lalu meminta pertolongannya menyapu ubat diambil di sebuah klinik.
“Dia menyuruh saya menggunakan putik kapas untuk menyapu ubat mata. Pada mulanya saya teragak-agak, tetapi tetap patuh. Tiba-tiba dia menjerit sakit dan kami bertengkar sebelum dia melafazkan cerai talak tiga sekali gus,” katanya.
Sebaik cerai dilafazkan, dia yang tinggal di rumah lelaki itu di Kedah segera membawa dua anaknya yang masih kecil ketika itu ke rumah ibu bapa di Perak.