Ditunjangi pelakon-pelakon hebat seperti Pekin Ibrahim, Tiz Zaqyah, Nam Ron, Raja Ilya dan Syafie Naswip, drama ‘SELUDUP’ pastinya menjadi drama yang dinanti-nantikan oleh peminat drama televisyen tempatan. Bagi pengetahuan semua, siri drama ‘Seludup’ ini akan menemui penonton pada setiap hari Khamis, jam 9.30 malam di Astro Prima bermula 4 Disember dan di saluran Maya HD pada setiap Sabtu jam 6.00 petang bermula 6 petang tau.
Dengan formula baru dan mesej berat tentang gejala penyeludupan haram di Malaysia, Jehan Miskin sebagai produser, pengarah dan pelakon telah berjaya menghasilkan satu naskhah yang segar dan tidak pernah ditonton sebelum ini di kaca televisyen. Drama 13 episod ini juga pasti tambah menarik dengan garapan kisah cinta antara watak dua pelakon utamanya, Pekin dan Tiz.
Tayangan perdana tersebut di TGV One Utama telah dihadiri oleh para pelakon yang kesemuanya diriaskan di dalam persalinan Sacoor Brothers, krew produksi, wakil-wakil daripada Astro, penaja, media dan pihak-pihak yang telah terlibat sama ada secara langsung atau tidak di dalam pembikinan drama tersebut. ‘Seludup’ dilancarkan oleh Astro Malaysia dan Mastermind Group Sdn. Bhd.
Untuk maklumat lanjut mengenai ‘Seludup’, sila layari laman FB Seludup di www.facebook.com/seludup
Sinopsis ‘Seludup’
Ia berkisar tentang watak bernama Amran (Pekin) yang merupakan seorang nelayan dan usahawan muda yang berjaya di Teluk Permata, sebuah perkampungan nelayan di Pantai Barat Malaysia. Amran mendapat tahu bahawa sekumpulan penyeludup diketuai oleh Tam (Nam Ron) dan dibantu oleh adik perempuannya, Rina (Raja Ilya) sedang mengupah nelayan kampung untuk menyeludup minuman keras, rokok, dan manusia ke dalam negara. Walau berdepan pelbagai jenis bahaya dan mengancam bukan sahaja dirinya malah keluarga dan Yasmin (Tiz Zaqyah), teman wanitanya, dia bertekad untuk menghalang gejala ini, dan menyelamatkan kampungnya sebelum lebih ramai rakan-rakannya dan penduduk kampung menjadi mangsa.