Kerajaan sedang berusaha untuk membawa pulang warganegara Malaysia yang terkandas di Nepal dengan segera menerusi penerbangan menggunakan pesawat tentera yang dijangka tiba di Lapangan Terbang Kathmandu jam 7 pagi, ini (Isnin).
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri, kesemua warga Malaysia terbabit akan dibawa pulang menggunakan pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Bagaimanapun, pesawat tersebut hanya mampu memuatkan seramai 110 orang penumpang sahaja.
Beberapa syarikat penerbangan seperti Malindo Air, AirAsiaX dan Malaysia Airlines turut turut akan membantu dalam usaha itu, jelas kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, perkhidmatan penerbangan tersebut akan memberikan keutamaan kepada warga Malaysia cedera, warga tua, wanita dan kanak-kanak terlebih dahulu untuk dibawa pulang ke tanah air.
Dalam kejadian pada Sabtu lepas, lebih 2,300 orang terkorban akibat gempa kuat dengan runtuhan salji terus berlaku di Gunung Everest. Akibat gegaran susulan kuat berpusat kira-kira 77 kilometer dari Kathmandu menyebabkan penduduk di Nepal sekali lagi diserang panik dan terpaksa berlindung di kawasan lapang.
Kesan gempa susulan itu turut dirasai di sebahagian besar utara India, dengan gegaran selama kira-kira 30 saat di New Delhi yang seterusnya menyebabkan beberapa kawasan di ibu negara mengalami gangguan bekalan.
Sumber: The Rakyat Post