Pada 2011, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan menunjukkan sekurang-kurangnya 2.6 juta orang dewasa di Malaysia menghidap penyakit diabetes, dan memandangkan bulan Ramadan hampir menjelang, pesakit diabetes yang akan menjalani ibadah puasa disarankan supaya lebih memberi perhatian terhadap komplikasi Hipoglisemia – iaitu satu keadaan di mana seseorang mengalami kekurangan gula dalam darah.
Bagi mendapatkan informasi lanjut tentang perkara ini, ikuti temuramah Wanista.com bersama Professor Dr. Norlela Shukor Md PHD (Perunding Endocrinologist, Pusat Perubatan UKM) dan Professor Nor Azmi Kamaruddin (Profesor Perubatan dan Ketua Diabetes dan Unit Endokrin, Pusat Perubatan UKM)
1. Apakah isu-isu utama dan risiko utama boleh dihadapi oleh pesakit kencing manis ketika berpuasa pada bulan Ramadan?
Terdapat 3 isu utama iaitu:
a. Hipoglisemia (glukosa darah rendah) terutama di kalangan mereka yang mengambil ubat-ubatan yang merangsang insulin atau insulin suntikan sendiri yang tidak mengambil makanan yang mencukupi semasa bersahur (sahur) atau mereka yang bersenam secara berlebihan pada siang hari iaitu dalam tempoh berpuasa.
b. Hiperglisemia (glukosa darah tinggi) di kalangan mereka yang tidak mengambil ubat-ubatan atau insulin sebelum berpuasa atau mereka yang tidak menjaga diet mereka semasa berbuka puasa (bebruka dengan aneka juadah ketika berbuka).
c. Dehidrasi adalah normal di kalangan individu yang mempunyai tahap glukosa darah yang tidak dikawal dengan baik dan mereka yang tidak minum dengan cukup semasa bersahur atau mereka yang terus terdedah kepada matahari panas.
2 Bagaimanakah profil glukosa darah mengalami perubahan pada bulan Ramadan?
• Ini bergantung kepada penggunaan ubat-ubatan dan insulin serta pengambilan makanan terutamanya semasa berbuka puasa.
• Jika pesakit tidak mengambil ubat-ubatan yang mencukupi atau insulin sebelum permulaan puasa pada waktu pagi, perubahan mungkin berlaku dalam profil glukosa darah. Bertentangan dengan kepercayaan yang biasa kita dengar, kecenderungan untuk glukosa darah pesakit akan meningkat walaupun pesakit tidak mengambil makanan ketika sahur. Ini kerana glukosa daripada hati akan dilepaskan ke dalam saluran darah apabila paras insulin dalam edaran darah seseorang berada pada tahap rendah.
• Sebaliknya, kecenderungan untuk pesakit untuk makan terlalu banyak sewaktu berbuka puasa secara semula jadi membawa kepada glukosa darah tinggi terutamanya jika ia tidak diiringi dengan peningkatan pengambilan dos ubat atau insulin.
3 Mengapakah penting bagi pesakit untuk mengawal dan menguruskan paras gula darah mereka?
• Ia adalah penting untuk mengelakkan komplikasi akut yang disenaraikan di atas (iaitu hipoglisemia, hiperglisemia dan dehidrasi) untuk berpuasa dengan selamat dan kekal sihat semasa Ramadan.
• Dalam jangka masa panjang, ia juga membantu untuk mengurangkan komplikasi jangka panjang seperti penyakit kardiovaskular (penyakit jantung koronari dan strok), kegagalan buah pinggang, buta dan serangan kerap jangkitan.
4. Bagaimana seorang pesakit kencing manis boleh berpuasa dengan selamat dan mengelakkan hipoglisemia semasa bulan Ramadan?
• Sebelum Ramadan, pesakit digalakkan untuk mendapatkan nasihat daripada doktor tentang cara untuk menyesuaikan diri dan mengubah suai pengambila ubat-ubatan dan insulin mereka sepanjang Ramadan.
• Begitu juga nasihat mengenai diet dan aktiviti fizikal harian juga perlu diminta daripada doktor.
• 5 amalan penting untuk memastikan pesakit diabetis berpuasa dengan selamat dan sihat:
a. Mesti bersahur. Badan anda memerlukan makanan yang dan air yang mencukupi
b. Pastikan ubat-ubatan dan insulin diambil selepas pelarasan yang sesuai dibuat (selepas berunding dengan doktor) terutama pada waktu makan sahur.
c. Jika pesakit mengalami sebarang tanda-tanda hipoglisemia, hiperglisemia dan dehidrasi mereka mesti berbuka puasa dengan segera atau menghadapi risiko membahayakan nyawa mereka.
d. Adalah penting untuk memantau paras glukosa darah mereka secara berkala sepanjang Ramadan menggunakan glucometers mereka. Mencucuk hujung jari untuk ujian glukosa darah tidak membatalkan puasa. Pemantauan berat badan harian mereka juga membantu untuk mengesan dehidrasi dan mengatasi kenaikan berat badan.
e. Bersederhana apabila mengambil makanan semasa berbuka puasa. Kurangkan pengambilan karbohidrat ringkas terutamanya minuman manis dan berkarbonat. Berbuka dengan makanan ringan seperti satu atau dua kurma termasuk minum, dan menunaikan solat Maghrib sebelum mengambil makanan yang berat. Ini membantu untuk membendung sebarang kecenderungan untuk mengambil makanan yang berlebihan. Ubat-ubatan dan / atau insulin yang sepatutnya diambil pada masa ini tidak boleh diabaikan.