Jika anda ke kawasan demam malaria, seperti di pedalaman Pahang, Sabah atau Sarawak, jangan lupa membawa ayam hidup.
Difahamkan, ayam boleh membantu mengurangkan risiko anda digigit nyamuk, pembawa demam malaria, demikian menurut satu kajian terbaru yang diterbitkan dalam jurnal Malaria Journal.
Satu kajian di Ethiopia mendapati bau ayam dapat menghalau nyamuk pembawa kuman malaria ― kes yang kini makin berkurangan di Malaysia.
Ujian sampel darah nyamuk yang dilakukan penyelidik Sweden dan Ethiopia baru-baru ini mendapati hanya seekor daripada hampir 1,200 nyamuk menghisap darah ayam.
“Kami terkejut apabila mendapati nyamuk malaria tidak menyukai bau ayam. Kajian ini buat kali pertama menunjukkan nyamuk pembawa malaria secara aktif mengelak menghisap darah spesies haiwan tertentu dan kelakuan ini dikawal melalui isyarat bau,” kata profesor Rickard Ignell, penyelidik dari Universiti Sains Pertanian Sweden.
Para penyelidik, termasuk dari Universiti Addis Ababa, mengambil sampel darah nyamuk di dalam dan luar rumah. Di luar rumah, 63 peratus sampel darah nyamuk yang dikaji mengandungi darah lembu.
Kira-kira 20 peratus lagi menghisap darah manusia, 5 peratus darah kambing dan 2.6 peratus biri-biri. Hanya seekor nyamuk menghisap darah ayam.
Di kawasan kajian tersebut di Ethiopia, haiwan ternakan kadang-kadang dibawa masuk ke rumah. Di dalam rumah, nyamuk lebih gemar darah manusia berbanding lembu.
Kira-kira 69 peratus menghisap darah manusia, 18 peratus darah lembu, 3.3 peratus kambing, 2 peratus biri-biri dan tiada nyamuk menggigit ayam.
Di kawasan kajian terbabit, terdapat kira-kira 6,700 manusia, 10,000 lembu, 3,200 ekor ayam, 850 kambing dan 480 biri-biri yang boleh dijadikan sumber makanan nyamuk.
Hasil kajian itu, para penyelidik mengenal pasti empat sebatian kimia pada bulu ayam yang mempunyai kesan penghalau nyamuk. Bulu ayam juga menjadi penghalang gigitan nyamuk, tambah mereka, selain faktor haiwan tersebut suka juga memakan nyamuk.