Mungkin ada yang tidak tahu mengenai filem Lelaki Harapan Dunia, jadi kami ingin berkongsi sedikit sebanyak mengenai filem yang telah dipilih untuk menyertai pertandingan filem berprestij di edisi ke 67 Festival Filem Antarabangsa Locarno.
Lelaki Harapan Dunia ialah sebuah filem komedi drama yang mengisahkan beberapa kejadian malang yang menimpa sebuah perkampungan Melayu yang aman yang mengakibatkan salah faham, tuduhan palsu dan suasana riuh sekampung. Filem ini membariskan pelakon berpengalaman. Antaranya Wan Hanafi Su, Harun Salim Bachik, Soffi Jikan, Jalil Hamid, dan Azhan Rani. Ia diterbitkan oleh Sharon Gan dan diterbitkan bersama oleh Everything Films Sdn. Bhd. (Malaysia) dan Volya Films (Belanda), Flying Moon Filmproduktion (Jerman) dan Mandra Films (Perancis).
Lelaki Harapan Dunia (judul Inggerisnya ‘Men Who Save the World’), ditulis dan diarahkan oleh Liew Seng Tat akan ditayangkan dalam kategori Cinema Dunia Kontemporari dan layak untuk Anugerah Pilihan Penonton Grolsch di Festival Filem Antarabangsa Toronto. Festival tahun ini berlangsung dari 4hb-14hb September.
Filem Liew Seng Tat yang dinanti-nantikan ini dahulunya dinamakan „In What City Does It Live?’. Filem ini telah menerima sokongan dana antarabangsa termasuklah dari Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Torino Film Lab (Itali), Hubert Bals Fund (Belanda), Netherlands Film Fund, World Cinema Fund (Jerman), Visions Sud Est (Switzerland), Fondation Groupama Gan pour le Cinéma – Cinefondation (Perancis), Prince Claus (Belanda), Mahindra Global Filmmaking Award di Sundance Institute, Sundance Institute Feature Film Program dan Doris Duke Foundation (Amerika Syarikat).
Lelaki Harapan Dunia akan menemui penonton Malaysia di layar perak pada 27 November 2014. Ikuti berita-berita terkini tentang filem ini dengan melanggani laman www.facebook.com/lelakiharapandunia
Sinopsis ringkas
Filem berkisah tentang sebuah kampung yang terjadi kekacauan akibat kesalahfahaman penduduk kampung yang menyangka rumah terbiar yang dalam perancangan dipindahkan dari hutan ke kampung untuk Pak Awang dihuni oleh “hantu” sedangkan terdapat seorang pendatang asing Afrika yang menghuni secara sembunyi-sembunyi. Pak Awang cuba menyakinkan penduduk kampung agar tidak percaya kepada tahyul, tetapi tiada siapa yang ingin mendengar. Benarkah “hantu” itu “Orang Minyak”?