Disebalik kontroversi yang melanda Shila Amzah tahun ini, Puteri UMNO masih dapat melihat bakat dan juga kejayaaan yang ditempa beliau dipersada antarabangsa dan juga di Malaysia. Berkat usaha dan kejayaan besar beliau, tahun ini, Shila Amzah telah terpilih untuk menerima gelaran Ikon Wanita Muda Puteri UMNO 2014.
Shila Amzah yang turut terkenal di negara China, terpilih untuk gelaran itu selepas pencapaian baik beliau dalam dunia hiburan selama ini dan melalui video khas yang dirakamkan, beliau mengucapkan terima kasih kepada sayap pergerakan UMNO.
“Untuk semua wanita muda yang sedang mendengar ucapan saya, saya berharap anda mendapat kekuatan untuk berkhidmat kepada parti dan membawa belia ke tahap yang lebih tinggi,” ujar beliau.
The Star turut melaporkan bahawa ahli Puteri UMNO yang kebanyakkannya juga adalah merupakan para peminat Shila Amzah turut bersorak gembira apabila ayah Shila Amzah, ND Lala tampil di atas pentas menerima anugerah itu daripada Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Tahniah Wanista ucapkan buat Shila Amzah! Semoga dengan gelaran dan penganugerahan ini mampu membakar semangat beliau untuk terus berjaya dalam karier nyanyian dan turut menjadi sumber inspirasi buat semua wanita muda di luar sana.
Sumber: The Star dan RotiKaya