SKY360° di One City menceriakan lagi sambutan tahun Monyet dengan hidangan set menu istimewa yang kena dengan tema Tahun Baru Cina. Pengunjung akan diberi layanan istimewa di samping 4 hidangan menu utama yang bakal dihidangkan dengan cara ala Barat meskipun hidangan berpaksikan ramuan serta bahan masakan tradisi Cina.
“Kami buat sedikit perubahan pada menu Tahun Baru Cina kali ini. Tidak hanya menampilkan hidangan masakan tradisi cina semata-mata, sebaliknya menawarkan hidangan masakan istimewa yang menggabungkan teknik masakan serta ramuan barat dan cina itu sendiri”.
“Ianya dilihat lebih menarik, malah mampu menggambarkan kehebatan serta kreativiti para Chef yang bertungkus lumus di belakang tabir, memasak hingga ke tahap kesempurnaan”, jelas H.T. Khor, Pengurus Besar e.City Hotel and Meetings, Incentives, Conferences dan Events (M.I.C.E.).
Penulis sendiri berpeluang merasai keenakkan hidangan khas tersebut tempoh hari. Kami dihidangkan dengan 4 menu utama yang lengkap, bermula dari hidangan pembuka selera digelar Pan Seared Scallop and a lightly battered curry-flavoured Prawn served with Garlic Almond Puree.
Bagi pendapat penulis, hidangan pemubuka selera yang menampilkan seleksi makanan laut ini cukup memberangsangkan. Aroma kari yang datang dari udang itu sahaja sudah cukup untuk mengundang rasa kenikmatan berganda. Manakala kekapis yang diletakkan di atas cengkerang pula dimasak dengan perasa yang sangat sempurna, isinya lembut dan sedikit kenyal. Apabila kedua makanan laut berkenaan di cicah bersama puri badam yang diserikan dengan rasa bawang putih? Mmm… Bayangkan sahajalah kesedapan yang melingkar di dalam mulut anda itu!
Selepas beberapa ketika, kami dihidangankan pula dengan Double-Boiled Chicken Soup sebelum pergi ke hidangan yang lebih berat, sup ini dimasak menggunakan teknik masakan Cina. Ia tidak dimasak terus di atas api dapur. Teknik yang digunakan hampir sama untuk mencairkan coklat dengan meletakkan coklat di dalam mangkuk berlainan seterusnya memasak ia di atas mangkuk lain yang berisi air panas mendidih. Orang di Hong Kong terutamanya gemar memasak sup mereka dengan cara didihan berganda atau double boiling ini kerana kesemua rasa ramuan makanan akan bergabung sekata seterusnya menghasilkan satu rasa unik yang kaya dengan aroma menyerlah.
Untuk hidangan menu teras, anda boleh memilih sama ada untuk menikmati Char Siew Chicken Roulade mahupun Steamed Cod with Almond.
Char Siew Chicken Roulade (Daging ayam gulung yang dipenuhi inti sayur bayam serta keju ricotta) yang diserikan dengan rasa sos perapan istimewa cina. Terdapat juga mee udon sebagai hidangan peneman yang dihidang dalam pinggan yang sama serta sayur-sayuran campuran.
Steamed Cod with Almond iaitu potongan daging ikan kod yang dikukus empuk dengan hiasan hirisan badam dan halia rangup, di nikmati pula bersama sos kicap istimewa bersama perahan lemon. Memang amat mengenyangkan serta berbaloi!
Tidak lupa, kedua-dua hidangan ini ditemani air minuman jus oren yang diperkaya dengan manis buah Epal.
Akhir sekali, tidak lengkap rasanya jika menu makan malam tidak dilimpahi manisan hidangan pencuci mulut enak bukan? Bagi melengkapi hidangan Tahun Baru Cina di SKY360° ini, pencuci mulut yang disediakan tersangatlah mengiurkan diberi nama Chilled Sweet Pumpkin.
Penulis tahu, ramai di antara kita yang tidak gemar akan rasa labu. penulis sendiri juga tidak suka memakan buah labu. Tetapi, yang bijaknya untuk hidangan pencuci mulut ini, Chef yang menyediakan menu berkenaan berjaya menenggelamkan rasa labu!
Kombinasi sagu lembut dan cecair berperisa dalam bentuk kaviar yang direndam dalam campuran labu pasti buat anda terkejut. Bukan itu sahaja, ada juga Crème Brûlée Kayu Manis yang dihiasi mousse oren ringan dihidangkan bersama. Rasanya tersangatlah sedap! Penulis nak bagi 5 bintang untuk keunikkan rasa pencuci mulut Chilled Sweet Pumpkin ni.
Rugi jika anda melepaskan peluang untuk makan malam di SKY360° bersempena Tahun Baru Cina ini! Bermula dari 27 Februari sehingga 22 Februari ini, promosi makan malam di SKY360° adalah pada harga RM68 seorang.
Dalam masa yang sama, hangatkan makan malam besar anda di SKY360° dengan menu tambahan Yee Sang Obor-Obor pada harga RM88 untuk seorang.
Untuk maklumat lanjut atau sebarang tempahan, sila hubungi 03-5115 9887 atau emailkan kepada sky360@miceatonecity.com.