Pejam celik pejam celik hari ini sudah pun masuk hari ke -20 dalam bulan Ramadhan dan 10 hari lagi kita bakal menyambut ketibaan Syawal pula. Setiap kali menjelang tiba Hari Raya Aidilfitri ,kemunculan iklan hari raya adalah antara yang ditunggu-tunggu. Setakat ini, tidak banyak iklan hari raya yang baru kelihatan bersiaran di kaca televisyen dan dimuatnaik di Youtube.
Rasanya iklan raya yang mula-mula muncul di kaca televisyen Ramadhan ini adalah, Iklan Raya Bersama Aaron Aziz yang dijayakan Along Raja Lawak, Adik Raikal dan Aaron sendiri. Namun, nampaknya iklan arahan Mohd Syafiq Mohd Samsudin ini tidak berbentuk PSA ( Public Service Announcement ) tapi lebih kepada mempromosikan produk Koleksi Baju Raya keluaran mereka.
Jakel turut menghasilkan iklan raya untuk Tudung Ariani, istimewanya , anda dapat melihat bakat lakonan , Datuk Siti Nurhaliza dan pengacara Nurul Syuhada Nurul Ain dalam iklan raya Tudung Ariani. Yang nyata dua personaliti ini bukanlah seorang pelakon, jadi jarang-jarang anda dapat melihat aksi lakonan mereka, mungkin hanya di sini.
Telekom Malaysia (TM) dan Petronas pula membawakan konsep lebaran yang ceria dalam iklan raya terbaru mereka. TM dengan drama lucu berjudul Adik manakala Petronas yang sebelum ini banyak menghasilkan iklan raya yang yang meruntun jiwa dan memberi impak besar kepada masyarakat hanya tampil dengan iklan ringkas tanpa dialog . Iklan berjudul Ke Pangkuan Bonda ini hanya sekadar menggambarkan kemeriahan sambutan Aidilfitri di kampung.
Astro pula nampaknya “mengitar semula” konsep iklan raya seperti tahun-tahun lalu yang berkisarkan pengalaman selebriti beraya. Sebelum ini mereka menampilkan Johan Raja Lawak, Hanis Zalikha, Nabil Ahmad , Aaron Aziz dan Erra Fazira dengan tagline Eratkan Jalinan. Bezanya tahun ini pengalaman raya Lisa Surihani dan Zizan Razak pula yang diangkat dan tagline diubah sedikit kepada Kosong-kosong.
Kalau tidak salah penulis, syarikat automotif Nissan belum pernah lagi menghasilkan iklan raya namun percubaan pertamanya ini nampaknya berjaya menarik perhatian dan pujian ramai. Klasik, bermakna dan menyentuh jiwa . Mesej dan feel yang cuba disampaikan juga memang begitu terkesan. Secara peribadi , iklan berdurasi 7 minit 38 saat ini juga merupakan pilihan peribadi penulis. Anda pula bagaimana?