Filem Maleficent keluaran Disney adalah di antara filem yang ditunggu-tunggu pada tahun ini dan ternyata memang berbaloi selepas menontonnya di tayangan perdana bersama media semalam. Filem ini diteraju oleh Angelina Jolie sebagai pari-pari penjaga Tanah Lapang, Elle Fanning sebagai Puteri Aurora, Sharlto Copley, Sam Riley dan ramai lagi. Ia merupakan kisah ‘Sleeping Beauty’ yang telah ditwistkan jalan ceritanya dan memberi tumpuan kepada kisah pari-pari ‘jahat’ yang mengenakan sumpahan terhadap Puteri Aurora.
Sinopsis Ringkas
Ia mengisahkan tentang Angelina Jolie iaitu Maleficent seorang pari-pari penjaga Tanah Lapang yang bebas dari kerakusan manusia dan kehilangan ibu bapanya sejak kecil. Pada suatu hari, seorang kanak-kanak lelaki bernama Stefan telah sesat dan masuk ke dalam kawasan ajaib itu dan mereka berdua menjadi kawan. Selepas menjadi dewasa, hubungan Stefan dan Maleficent renggang kerana Stefan mengejar pangkat dan kemewahan. Pada suatu hari, seorang raja telah bertindak menyerang Tanah Lapang yang ajaib untuk menakluki dan mengambil harta di situ dan itu telah menimbulkan kemarahan makhluk di Tanah Lapang dan mereka berperang. Stefan telah mengambil keputusan untuk menipu Maleficent dengan cinta palsunya dan mengambil sayap Maleficent untuk menuntut ganjaran daripada raja dan tak lama selepas itu, Stefan ditabalkan menjadi raja.
Maleficent yang teramat marah membuat keputusan untuk menyumpah anak Stefan dan permaisuri supaya tidur selama-lamanya pada usianya 16 tahun dan mengatakan hanya ciuman cinta sejati sahaja yang akan menghidupkan kembali Puteri Aurora. Akan tetapi, sejak Puteri Aurora kecil, Maleficent sentiasa memantau keadaan puteri yang amat cantik dan baik itu serta menimbulkan rasa kasihnya terhadap puteri malang itu dan cubaannya untuk membatalkan sumpahan kejamnya gagal. Kalau nak tahu ending kisah menarik ini, pastikan anda menontonnya di panggung wayang. Memang best!