Royal Bank of Canada (RBC) hari ini mengumumkan bahawa Kuala Lumpur, buat julung kalinya, akan menjadi salah sebuah bandaraya penganjur kepada siri perlumbaan ‘RBC Race for the Kids’ yang menjelajah ke serata dunia demi mengutip dana untuk tabung bantuan bagi kebajikan kanak-kanak, pada Ahad, tanggal 16 Oktober 2016.
‘RBC Race for the Kids Kuala Lumpur’ akan diadakan di Taman Botani Perdana yang terkenal dengan kehijauannya di tengah bandaraya. Semua orang daripada pelbagai lapisan masyarakat adalah dialu-alu untuk berlari atau berjalan kaki di sepanjang laluan 5-kilometer yang diatur selain melibatkan diri dalam acara-acara sampingan di festival pasca-perlumbaan. Larian santai dan bukan kompetitif ini adalah terbuka kepada semua tanpa mengira usia mahupun keupayaan dan ianya bakal menyaksikan ribuan orang terdiri daripada keluarga, komuniti dan kakitangan RBC berganding bahu demi mengutip dana untuk tabung bantuan bagi disalurkan kepada Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia.
‘RBC Race for the Kids Kuala Lumpur’ dijangka menarik 1,500 penyertaan dan mampu mengutip dana mencukupi untuk mendirikan sebuah bilik rangsangan deria baharu bagi membantu perkembangan kanak-kanak istimewa. Bilik tersebut akan dibina di Brickfields sebagai projek kemasyarakatan RMHC Malaysia yang bertujuan memberi sokongan buat kanak-kanak yang memerlukan keperluan khas.
‘RBC Race for the Kids’ menampilkan 11 larian amal kesemuanya di serata dunia termasuk Australia, Kanada, Hong Kong, Luxembourg, Malaysia, Trinidad & Tobago, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Sambutan yang diterima ‘RBC Race for the Kids’ tersebut meningkat saban tahun menyaksikan lebih 100,000 ribu peserta telah mengambil bahagian setakat hari ini dan 21.7 juta Dolar Kanada dikutip untuk tabung kebajikan kanak-kanak di seluruh dunia.
Siri perlumbaan ini merupakan sebahagian besar komitmen kami terhadap pembangunan kanak-kanak dan remaja melalui ‘RBC Kids Pledge’ (Ikrar Kanak-kanak RBC), iaitu satu janji untuk menyalurkan 100 juta Dolar Kanada dalam tempoh lima tahun untuk menambah baik kesejahteraan lebih sejuta kanak-kanak dan remaja. Untuk maklumat lanjut mengenai siri perlumbaan ini dan cara mendaftar, sila layari www.rbcraceforthekids.com/kualalumpur.