Raja Permaisuri Agong Terima Ijazah Doktor Kehormat

Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah semalam berkenan menerima Ijazah Doktor Kehormat Dalam Kerja Sosial dari Management and Science University (MSU) sempena konvokesyen MSU kali ke-19.

Tuanku Hajah Haminah selaku Canselor MSU menerima anugerah berkenaan daripada Presidennya, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dalam istiadat konvokesyen khas yang diadakan di Dewan Seri Maharaja, Istana Negara di sini.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah turut berangkat ke istiadat itu selain Pro Canselor MSU, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin serta lembaga pengarah dan pengurusan kanan universiti.

Dr Mohd Shukri berkata, anugerah berkenaan merupakan pengiktirafan kepada Raja Permaisuri atas keprihatinan dalam mengambil kira permasalahan hidup rakyat terutama isu sosial yang berkaitan kanak-kanak, hal ehwal wanita dan warga emas.

“Baginda sentiasa peka dengan perkembangan semasa berkaitan dengan lingkungan kehidupan kanak-kanak sebagai legasi negara pada masa depan.

Justeru, atas inisiatif baginda sendiri, Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Hajah Haminah (Yash) iaitu sebuah yayasan berasaskan kebajikan yang bermatlamat untuk membela nasib kanak-kanak kurang bernasib baik terutamanya anak-anak yatim telah ditubuhkan,” katanya.

Dr Mohd Shukri berkata, Raja Permaisuri turut menjalin hubungan dengan rakyat menerusi aktiviti amal dalam konteks kemasyarakatan dan kemanusiaan.

Sebagai dorongan dan galakan, baginda sendiri merupakan Penaung Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Negeri Kedah, Persatuan Pandu Puteri Negeri Kedah, Persatuan Ibu Tunggal Negeri Kedah serta Woman Institution.

Di peringkat persekutuan, baginda merupakan Penaung Diraja Persatuan Pandu Puteri Malaysia dan Lembaga Kebajikan Perempuan-Perempuan Kebangsaan.

Selain itu, dalam bidang pendidikan juga merupakan aspek yang diberi perhatian Raja Permaisuri untuk berangkat menghadiri pelbagai aktiviti di peringkat negeri dan sekolah.

“Komitmen dan dedikasi baginda menjadi inspirasi dan dorongan kepada MSU dalam mencapai kecemerlangan,” katanya yang turut memaklumkan paa masa kini tahap kebolehpasaran graduan MSU berada pada 98.6 peratus iaitu tertinggi di Malaysia. -Bernama

Related Posts