Pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH192 ke Bangalore, India yang berpatah balik akhirnya selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA ), di Sepang, jam 1.56 pagi ini. Berita tersebut disahkan sendiri oleh MAS dalam laman Twitter syarikat penerbangan.
Sebelum ini, MAS mengesahkan pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 10.09 malam ke Bangalore itu berpatah balik ke Kuala Lumpur. Pesawat tersebut mengalami kerosakan gear bahagian kanan selepas tayarnya terbakar sewaktu berlepas.
Pesawat yang membawa 166 orang yang terdiri daripada 159 penumpang dan 7 anak kapal akan bertolak semula ke Bangalore pada pukul 3.30 petang, Isnin dan dijangka sampai pada jam 5.00 petang pada hari yang sama. Kesemua penumpang dan anak kapal dilaporkan selamat. Penumpang juga ditempatkan di hotel berhampiran.
Sumber: Astro Awani