Laporan dari Bernama, seorang pelajar tahfiz Sekolah Menengah Agama (SMA) As Siddiqiah Al Islamiah, Naka meninggal dunia selepas makan mee segera.
Mangsa, Mohamad Daud Shariff, 18, sebelum itu dikatakan makan mee segera sebelum tidur di bilik asrama bersama beberapa rakan yang lain. Difahamkan kejadian terjadi kira-kira pukul 10.30 malam.
Rakan mangsa, Mohamad Hisham Zainol, 17, berkata sebelum itu mereka terdengar bunyi dengkuran kuat dan menganggap ia perkara biasa kerana semua pelajar keletihan setelah bermain bola pada sebelah petang. Katanya mereka hanya mengetahui kejadian itu selepas guru mereka yang melakukan rondaan terdengar bunyi dengkuran yang kuat dan memeriksa bilik itu.
“Sebaik lampu asrama dihidupkan ternampak mulut arwah sudah berbuih dan mee segera yang dimakannya sebelum itu turut terkeluar. Kami cuba panggil nama dia beberapa kali tetapi dia tidak bergerak,” katanya.
Sementara itu Pengetua SMA As Siddiqiah Al Islamiah, Mohd Sidek Junus, berkata mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk mendapatkan rawatan kecemasan tetapi disahkan meninggal dunia ketika tiba di sana. Ketua Polis Padang Terap DSP Ku Yaacob Ku Hamad ketika dihubungi berkata pihaknya mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut.