Persatuan Kesihatan Penghadaman Malaysia atau Digestive Health Malaysia (DHM) telah melancarkan Kaedah Penilaian Kesihatan Penghadaman Atas Talian yang pertama seumpamanya di Malaysia (online Digestive Health Assessment Tool [DHAT]) pada sambutan Hari Kesihatan Penghadaman Sedunia ke 8 (World Digestive Health Day – WDHD) peringkat kebangsaan. Kaedah penilaian secara atas talian ini dapat menilai tahap kesihatan penghadaman individu melalui beberapa siri soalan.
Menurut Timbalan Pengerusi DHM dan Pakar Gastroenterologi, Prof Madya Dr Raja Affendi Raja Ali, rakyat Malaysia tidak menjalani saringan kesihatan secara kerap. Malah, ramai yang tidak tahu langsung tentang penyakit penghadaman dan lebih ramai yang tidak sedar akan ancamannya.
Beliau mendedahkan, “Kebanyakan kita – sama ada kerana leka atau malu – lebih cenderung menunggu sehingga saat-saat akhir untuk mendapatkan rawatan. Namun, semuanya mungkin sudah terlalu lambat ketika itu”.
Prof Madya Dr Raja memetik statistik daripada Registri Pesakit Kanser Kebangsaan (2008-2013), yang menunjukkan bahawa hanya 9% pesakit kanser kolorektal didiagnos pada peringkat awal (tahap 1), manakala majoritinya dikesan pada peringkat yang lebih lanjut. Data yang sama juga menunjukkan bahawa insiden kanser kolorektal lebih tinggi dalam kalangan kaum Cina (27.4%) diikuti oleh kaum Melayu (19%) dan kaum India (17.6%).
Mengulas lanjut, Prof Madya Dr Raja menegaskan bahawa DHAT bukan bertujuan untuk menggantikan perundingan bersama pakar kesihatan. Sebaliknya, ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan rakyat Malaysia untuk lebih berhati-hati dan bersikap lebih bertanggungjawab terhadap kesihatan penghadaman mereka sendiri.
“Amalan gaya hidup sihat yang terdiri daripada tabiat pemakanan yang seimbang, kerap melakukan aktiviti fizikal dan mengelakkan tabiat yang tidak sihat (contohnya, merokok) boleh membantu mengurangkan risiko kanser kolorektal dan juga penyakit lain,” jelas Prof Madya Dr Raja.
Yang Berbahagia Dato’ Dr Haji Azman Bin Hj Abu Bakar, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, yang hadir merasmikan WDHD 2016, mengingatkan bahawa kanser kolorektal merupakan kanser paling lazim dalam kalangan lelaki dan kedua paling lazim dalam kalangan wanita. Tambahan lagi, pada tahun 2014 Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan penyakit sistem penghadaman sebagai penyebab ke 7 kemasukan ke hospital kerajaan dan penyebab ke 6 kematian di hospital kerajaan dan swasta.
‘Kami memuji inisiatif yang diambil oleh DHM melalui penganjuran acara ini dan inisiatif mereka untuk menjalinkan kerjasama erat bersama Program Kesihatan Penghadaman Vitagen (VHDP). Ternyata usahasama ini memberikan manfaat kepada rakyat Malaysia serta membantu untuk menengahkan isu kesihatan penghadaman,” tambah Yang Berbahagia Dato’.
Program Kesihatan Penghadaman VITAGEN atau VITAGEN Healthy Digestive Programme (VHDP) merupakan cabang pendidikan VITAGEN milik Malaysia Milk Sdn Bhd. Menurut Pengurus Pemasaran VITAGEN, Cik Yap Jay Queen, yang berucap sewaktu pelancaran WDHD, syarikat beliau kekal komited untuk terus menyokong visi DHM dalam mempromosikan kesihatan penghadaman yang optimum dalam kalangan rakyat Malaysia menerusi pendidikan komuniti.
“Sebagai minuman berkultur yang pertama dan nombor 1 di Malaysia, kami menyedari kepentingan kerjasama korporat dalam memberi semula kepada masyarakat. Maka, kami amat berbesar hati untuk terus menyokong badan-badan profesional seperti DHM bagi meningkatkan kesedaran orang ramai ke arah kesihatan penghadaman yang lebih baik,” ulas beliau.