Sebuah video parodi yang meniru gaya pemakaian Dayang Nurfaizah ketika beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29) menarik perhatian pengguna laman sosial kerana dianggap lucu.
Selain daripada mempersembahkan vokal yang mantap, Dayang Nurfaizah juga menarik perhatian ramai yang rata-rata memperkatakan mengenai busana putih yang disarungkan penyanyi berkenaan ketika menyampaikan lagu Di Pintu Syurga. Ilham daripada pereka kesayangan Dayang Nurfaizah iaitu Rizalman Ibrahim yang ditempah penyanyi itu telah mengundang pelbagai reaksi sehinggalah ada yang membuat parodi kerana ‘teruja’ dengan rekaan yang cantik itu.
Video klip yang dimuat naik di laman Instagram milik @gie_ismail itu memaparkan pemilik akaun berkenaan memakai pakaian bewarna putih sambil menyanyikan lagu Di Pintu Syurga.
Video itu seterusnya dimuat naik semula oleh pereka fesyen busana putih yang dipakai Dayang Nurfaizah, Rizalman dengan caption yang positif.
“Saya, Dayang, Tam Spider dan Rudy Imran merasa sungguh berbangga menjadi sumber inspirasi kepada rakyat Malaysia #glovedengankepaktepitu”, ulas Rizalman kepada parodi itu.
Pereka itu juga dalam entri yang berlainan di Instagramnya melahirkan rasa teruja untuk menghasilkan koleksi yang lebih bagus dan mantap berserta ucapan terima kasih buat semua yang menyukai dan mengagumi rekaannya itu. – The Rakyat Post