Gudeg (bahasa Jawa, gudheg) adalah makanan khas Yogyakarta (atau Jogjakarta) dan Jawa Tengah — nangka muda yang dimasak / direbus bersama santan, gula perang, garam dan rempah-ratus. Ia mengambil masa selama semalaman / 12 jam untuk dimasak. Warna coklat yang terhasil adalah daripada daun jati yang turut dimasak bersamanya.
Gudeg dimakan dengan nasi dan disajikan dengan kuah santan kental (areh), ayam kampung, telur rebus, tauhu, tempeh dan sambal goreng krecek (semua ini adalah hidangan pilihan mengikut citarasa seseorang). Krecek merupakan hidangan cili yang diperbuat daripada keropok kulit lembu. Ia mempunyai kombinasi rasa pedas dan manis yang seimbang.
Gudeg Yu Djum — Nasi Gudeg Terbaik di Yogyakarta
Penulis telah merasai keunikan dan keenakan Nasi Gudeg di kedai Gudeg Yu Djum semasa percutian ke Yogyakarta beberapa tahun yang lepas.
Nasi Gudeg sangat unik rasanya, dan semestinya SEDAP! Jika dilihat melalui rupa hidangan ini, penulis sendiri telah salah menilainya. Mungkin, rupa hidangannya nampak biasa dan tiada apa yang istimewa, namun anda harus tahu bahawa Nasi Gudeg ini sangat menyelerakan dan tidak akan dapat dimana-mana tempat yang lain selain Yogyakarta.
Penulis sendiri menyukai keunikan rasa lembut nangka muda dimakan bersama ayam dan sambal goreng krecek dengan nasi. Sudah pasti, suatu hari nanti jika penulis berpeluang untuk ke sana lagi, penulis akan singgah untuk menikmati Nasi Gudeg yang unik dan enak di Yu Djum!
Kombinasi biasa antara nasi + gudeg + telur rebus + sambal goreng krecek + teh botol berharga Rp14,000 (lebih kurang RM4.00 atau US$ 1.30). Murah, bukan?
Selain daripada review penulis sendiri, berikut merupakan info dan gambar yang penulis ambil daripada sumber, Suanie.net yang turut mengakui keenakan Nasi Gudeg. Menurut sumber, Nasi Gudeg yang terbaik di Yogyakarta adalah di Gudeg Yu Djum, tempat dimana penulis menikmati hidangan tersebut. Anda boleh bertanya penduduk tempatan untuk ke Gudeg Yu Djum jika ingin ke sana kerana ada beberapa cawangan Gudeg Yu Djum di bandar tersebut.
Selain daripada itu, sumber lain, Timetravelturtle.com telah berkesempatan untuk melihat proses penyediaan Nasi Gudeg di dapur Gudeg Yu Djum. Michael Turtle, seorang penulis travel menyatakan dalam blog beliau bahawa penyediaan Nasi Gudeg mengambil masa yang lama untuk disediakan dan juga memerlukan tenaga manusia yang ramai! Anda boleh lihat bagaimana proses penyediaan Nasi Gudeg yang boleh dikatakan agak rumit dan memakan masa yang lama, namun hasilnya sangat berbaloi!
Jadi, jika anda berkesempatan untuk pergi ke Yogyakarta, jangan lupa untuk menikmati Nasi Gudeg! Penduduk tempatan berkata, tidak sempurna kunjungan anda ke Yogyakarta jika tidak merasai keunikan hidangan asli mereka itu.