Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melancarkan aplikasi telefon mudah alih ‘MyKira GST’ yang membolehkan pengguna membuat semakan segera impak cukai barang dan perkhidmatan (GST) terhadap harga lebih 10,000 barangan.
Menterinya Datuk Seri Hasan Malek berkata aplikasi yang dibangunkan KPDNKK dengan kerjasama MIMOS Bhd itu juga membolehkan pengguna yang tidak berpuas hati membuat aduan terus melalui saluran e-aduan yang disediakan.
“Dalam tiga langkah (melalui MyKira GST), pengguna boleh menyemak harga barangan dalam julat. Semua e-aduan melalui aplikasi ini akan diambil tindakan segera dengan dihantar terus ke pasukan penguatkuasaan,” katanya.
Aplikasi itu boleh dimuat turun secara percuma daripada Google Play Store mulai sekarang manakala bagi Apps Store pula pada minggu pertama April.
Bernama