Baru-baru ini kami telah mendapat tahu bahawa, melalui seorang bekas pemandu Formula Satu (F1), beliau mengatakan legenda sukan F1 yang terkenal, Michael Schumacher kini ‘lumpuh’ dan terpaksa menggunakan khidmat kerusi roda untuk bergerak, ‘tidak berupaya bercakap dan juga mengalami masalah ingatan’.
Bekas pemandu F1 itu adalah Philippe Streiff juga menggunakan kerusi roda sejak nahas di Brazil pada 1989 ketika ujian pra-musim.
Streiff, yang juga kawan baik Schumacher berkata: “Dia semakin baik tetapi semuanya agak relatif. Ia amat sukar. Dia tidak boleh bercakap. Sama seperti saya, dia guna kerusi roda, lumpuh. Dia mengalami masalah ingatan dan tidak boleh bercakap.”
Streiff, 59, melawat Schumacher ketika pemandu Jerman itu dirawat di Hospital Grenoble, Perancis selepas dia terbabit dalam nahas ski pada Disember sehingga mengalami kecederaan di bahagian otak.
Schumacher, 45, dipindahkan ke Hospital Lausanne di Switzerland pada Jun lalu dan kini dirawat di rumahnya di Lake Geneva.
Jurucakap Schumacher, Sabine Kehm pula berkata, apa yang dikatakan Streiff adalah “pandangan peribadinya” dan beliau tidak mahu mengulas lanjut. “Streiff tidak pernah berhubung dengan kami,” katanya.
Sementara itu, doktor yang merawat Schumacher pada Oktober lalu berkata, bekas juara F1 itu menunjukkan perkembangan positif tetapi memerlukan masa yang agak panjang untuk sembuh. Doktor Perancis, Jean-Francois Payen juga memuji isteri Schumacher atas kasih sayang dan keprihatianan yang ditunjukkan sejak suaminya terbabit dalam nahas berkenaan. Dr Payen merawat Schumacher di Hospital Grenoble selepas dia dibawa dari lokasi nahas.
“Saya dapati ada sedikit perkembangan tapi kita perlu memberinya masa. Sama seperti pesakit lain, kita perlu beri masa setahun hingga tiga tahun, jadi anda perlu bersabar,” katanya.
Dr Payen masih merawat Schumacher di hospital Lausanne dan kediaman beliau.
Sumber: Berita Harian