Makanan yang sedap, minuman yang lazat, dengan harga yang murah, pokoknya Malaysia merupakan salah satu hub makanan terbesar di dunia. Tetapi ia juga memberikan kesan buruk terutamanya kepada rakyat Malaysia sendiri. Mana tidaknya, terkini Malaysia diletakkan sebagai antara negara yang mempunyai paling ramai penduduk dengan berat badan berlebihan di Asia.
Menurut sumber terkini sebuah jurnal perubatan Britain, The Lancet, 49 peratus wanita dan 44 peratus lelaki di negara ini mengalami obesiti. Menurut hasil kajian terbaru yang disiarkan jurnal itu bulan lepas, rakyat Malaysia diletakkan sebagai ‘heavyweight’ ( ataupun berat berlebihan ) kerana 45.3 peratus penduduknya mengalami berat badan berlebihan, diikuti Korea Selatan (33.2 peratus), Pakistan (30.7 peratus) dan China (28.3 peratus). Sementara itu, sekitar awal tahun lepas, satu laporan mencatatkan kira-kira 2.6 juta rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas menghidap penyakit kencing manis.
Malaysia turut disenaraikan negara paling gemuk di Asia Tenggara dan yang keenam di rantau Asia Pasifik. Walaupun begitu, kajian tersebut mendapati rakyat Malaysia tidak mengalami apa-apa kekurangan zat makanan.
Negara ini juga berkongsi tempat ke-44 keseluruhan dengan enam negara lain: Maldives, Kazakhstan, Mexico, Moldova, Rusia dan Chile. Di Asia Tenggara, Malaysia berada di tempat kedua di belakang Thailand, yang menduduki tempat ke-42 di seluruh dunia. Negara jiran pula mencatatkan kedudukan seperti berikut : Filipina (67), Vietnam (ke-71), Indonesia (83) dan Laos (112). Singapura dan Myanmar tidak termasuk dalam senarai.
Sebagai perbandingan, Belanda mendapat tempat yang pertama sebagai negara yang mempunyai makanan yang paling berkhasiat dan sihat. Negara Afrika Chad, di sisi lain, pada tangga ke 125, didapati mempunyai makanan yang mahal dengan nilai pemakanan yang sedikit.