Tahun 2014 merupakan tahun Lupita Nyong’o di mana dia diangkat menjadi antara ikon fesyen dan paling cemerlang apabila dinobatkan pemenang Oscar Pelakon Pembantu Terbaik di Anugerah Akademi menerusi lakonan mantapnya dalam filem 12 Years A Slave.
Kini, Majalah People telah menamakan Lupita Nyong’o sebagai Personaliti Paling Cantik bagi tahun 2014, sekaligus mengikuti jejak langkah bintang-bintang ternama seperti Gwyneth Paltrow, Julia Roberts dan Tom Cruise.
Nyong’o, 31, yang juga berasal dari Kenya berkata, dia hanya berasa cantik apabila mula meninggalkan negaranya ketika berusia 16 tahun dan sejak dari itu dia mempelajari mengenai perihal gaya dan kecantikan diri dari ibunya.
“Ibu mengajar saya bahawa penampilan seseorang menunjukkan dirinya yang sebenar. Ibu selalu kata yang saya cantik. Ketika kali pertama saya ke Mexico pada usia 16 tahun, itulah kali pertama saya berasa benar-benar cantik,” ceritanya lagi kepada majalah hiburan berprestij, People.