Internet mungkin boleh menjadi medium untuk menambah kenalan dengan cara yang lebih mudah dan pantas. Namun yang menjadi kebimbangan, banyak cerita yang “memakan diri sendiri” berlaku hasil perkenalan melalui medium ini.
Memetik laporan Harian Metro, seorang lelaki yang seperti terpukau ketika berinteraksi di laman perbualan Skype dengan kenalan wanita yang baru dikenalinya akhirnya mengakibatkan lelaki tersebut diperangkap dan dipaksa membayar wang ugutan bernilai RM 1500. Pada waktu kejadian , lelaki yang berusia 25 tahun ini dilaporkan teruja apabila kenalan barunya yang merupakan seorang wanita warga Filipina tiba-tiba berbogel ketika berbual di laman tersebut. Suspek kemudiannya mengajak mangsa untuk menuruti perbuatannya.
Pada mulanya mangsa enggan berbuat demikian dan cuba menamatkan perbualan tersebut namun dia mendakwa seperti dipukau dan tidak menyedari dia turut berbogel . Kemudiannya mangsa telah menerima mesej melalui laman sosial Facebook empat jam selepas itu dan diminta mmebuka pautan yang diberikan suspek. Mangsa terkejut apabila melihat aksi dia berbogel rupa-rupanya telah dirakam dan dimuat naik di laman Youtube.
Suspek seterusnya menghubungi mangsa sekali lagi untuk mengugut dan meminta wang sebanyak Rm1500 jika tidak mahu video tersebut disebarkan dan dipadam .
Macam-macam kes berlaku, jadi jika anda ingin menambah kenalan melalui internet baik laman sosial atau pun laman chatting, berhati-hati ya.