Semalam kecoh mengenai khabar angin wanita mati dibakar teman lelakinya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Tetapi telahan itu ternyata benar apabila Pakar Patologi Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) Datuk Dr Zahari Noor mengesahkan serpihan tulang ditemui di Kampung Tok Keramat adalah tulang manusia. Wanita itu yang berusia 30 tahun dikenali sebagai Intan dan merupakan pengusaha kedai runcit.
Selain itu juga, pihak polis juga mengesahkan menemui beberapa serpihan tulang yang terbakar hasil pencarian dilakukan di kawasan berhampiran rumah wanita yang dilaporkan dibunuh dan dibakar teman lelakinya. Suspek yang berusia 40 tahun itu ditahan selepas dipercayai membunuh, memotong dan membakar mayat teman wanitanya dalam kejadian di Kampung Tok Keramat, Juru.
Kronologi
29 September : Mangsa yang hanya dikenali sebagai Intan berusia 30 tahun dilihat datang ke rumah didiami suspek, 40-an, kira-kira jam 6 petang.
30 September : Kakak suspek yang melakukan pemeriksaan di rumah didiami adiknya itu terkedu selepas melihat titisan darah mengalir sebaik dia memerah baju berwarna merah dipercayai milik mangsa. Dia memeriksa kawasan sekitar kediaman berkenaan sebelum menemui serpihan tulang dengan kesan terbakar di satu lokasi kira-kira 50 meter dari rumah. Dia kemudian membuat laporan polis.
Abang ipar suspek yang enggan dikenali berkata, pada mulanya anak lelakinya yang turut tinggal di kediaman sama merasa ada yang tidak kena selepas melihat mangsa dalam keadaan terbaring kaku di ruang tamu rumah berkenaan.
1 Oktober : Pakar Perunding Patologi Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), Datuk Dr Zahari Noor, berkata pemeriksaan terhadap tulang yang ditemui kira-kira jam 2 pagi , mengesahkan ia milik manusia, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
2 Oktober : Suspek ditahan di rumah rakan di Bandar Baharu, Kulim, Kedah