Bersempena dengan musim cuti sekolah yang telah tiba, satu persembahan istimewa dari Australia iaitu ‘LumiAir – A Cirque Sensation‘ boleh disaksikan secara eksklusif di Amphitheatre, Sunway Lagoon, Petaling Jaya. Pertama kali dibawakan di Malaysia, LumiAir menjanjikan kehebatan persembahan yang menggabungkan seni tarian, akrobatik dan muzikal dalam acara yang berlangsung selama dua jam sesuai untuk tontonan semua lapisan usia. Persembahan itu dimeriahkan lagi dengan seni reka pentas yang menakjubkan, mainan lampu yang ceria dan muzik yang bakal menangkap emosi penonton.
Bagi pengarah dan penerbit ‘LumiAir’, Susan Porrett, penonton bakal memperoleh pengalaman persembahan yang tidak pernah dialami sebelum ini.
“Kami yakin, setiap penonton yang hadir bakal tersenyum puas apabila selesai menonton ‘LumiAir’. Malah, ia juga boleh ditonton oleh semua lapisan umur sama ada kanak-kanak sehingga ke peringkat dewasa,” katanya.
“Sehubungan dengan itu, mereka akan terhibur dengan setiap langkah tari dan nyanyian daripada pelakon-pelakon ‘LumiAir’ yang turut menyarungkan kostum berwarna-warni,” tambah Porrett.
Porrett mengambil inspirasi jalan cerita yang dialaminya sendiri bagi membina sebuah karya mengagumkan. Pernah menjadi salah seorang pelakon pentas, Porrett merupakan satu nama besar di Australia yang menjadi tulang belakang kepada persembahan-persembahan besar selepas hampir 20 tahun berkecimpung dalam industri itu. Antara persembahan pentas yang pernah diterbitkan oleh Porrett adalah Zircus, Solaria, Parade of Stars, Aqua Voyage dan Spiderlash.
Persembahan yang hebat dan bertenaga adalah menjadi tanggungjawab kepada pereka tari utama ‘LumiAir’, Anthony Ikin yang juga adalah salah seorang penasihat gimnastik kebangsaan Australia. Beliau bekerjasama mereka pergerakan tari dan lakonan bersama Daniella Winter yang merupakan koreografi rancangan terkenal, Australia’s Got Talent.
Bagi penulis sendiri yang telah menghadiri pra-tonton ‘LumiAir’ pada Jumaat yang lepas, ia sememangnya satu persembahan pentas yang sangat menyeronokkan dengan adanya pelbagai elemen yang mengujakan penonton seperti persembahan akrobatik yang sangat luar biasa dan juga tarian yang megujakan. Selain itu, jalan ceritanya yang ringkas dan mantap membolehkan persembahan ini difahami oleh setiap penonton.
‘LumiAir’ telah mula dipersembahkan pada 29 November dan akan berlangsung sehingga 24 Disember, setiap hari Selasa hingga Ahad. Tempahan tiket boleh dibuat menerusi laman web www.airasiaredtix.com atau di kaunter-kaunter tiket Sunway Lagoon. *Harga tiket adalah termasuk snek dan air botol.
Tempahlah tiket anda sekarang, bawa rakan-rakan atau keluarga bersama. Sangat berbaloi untuk ditonton!