Semasa hari perkahwinan, wanita lebih suka mengenakan gaun perkahwinan ataupun persalinan busana perkahwinan tradisional yang nampak lebih anggun dan menyerlahkan seri ratu sehari. Pada masa kini, pengantin wanita pula lebih berani tampil dengan gaya lebih kontemporari dan unik contohnya menggayakan busana perkahwinan pelbagai warna dan stail lebih santai. Terkini, pereka fesyen telah mula mengenengahkan fesyen jumpsuit atau onesie sebagai busana perkahwinan moden yang kini amat digemari oleh para pelakon gred A di Hollywood.
Pada tahun lepas , pereka fesyen Viktor & Rolf mempersembahkan busana pengantin unik yang terdiri daripada kemeja, jumpsuit, baju tanpa lengan beropol di bahagian kain dan juga belakang baju yang nampak agak pelik.
Mungkin ramai yang belum membiasakan diri dengan fesyen busana pengantin yang lebih tampak maskulin ini, tetapi anda boleh lihat hasil karya pereka fesyen Barat yang mengubahsuai pakaian santai kepada busana perkahwinan indah. Antara jenama yang menggunakan jumpsuit sebagai trend terkini busana perkahwinan adalah seperti Temperley Bridal, Lazaro, J. Crew, Theia dan Rivini.