Pelakon Juliana Sophie Evans mengakui sudah menemui pengubat luka hatinya yang juga jejaka daripada kerabat diraja Johor-Selangor.
Juliana, 27, berkata, hubungannya dengan jejaka itu sudah serius hampir setahun, namun enggan mendedahkan identiti kekasihnya.
“Bagi saya, cukuplah sekadar mengakui memang kami bercinta. Saya tidak mahu bersikap hipokrit kepada peminat dan terus menjadikan ia teka-teki,” katanya dipetik laporan Harian Metro.
Lebih mesra disapa Jue, hubungan mereka diketahui selepas pelakon filem “Hantu Bonceng” itu baru-baru ini memuat naik gambar bersama memakai baju warna jingga sedondon.
Katanya, mereka kini masih dalam proses mengenali hati budi selepas diperkenalkan melalui rakannya.
“Sejujurnya saya ambil masa lama juga untuk memuat naik foto kami. Saya bimbang akan menerima pelbagai tanggapan kurang enak peminat.
“Namun sangkaan saya meleset apabila kebanyakan komen diterima positif dan menjurus pada mendoakan kebahagiaan kami,” katanya yang pernah bercinta dengan pelawak Zizan Razak.
Graduan Ijazah Filem, Video dan Pengajian Media Universiti Western Michigan, Amerika Syarikat itu berkata, sikap kekasihnya yang mudah mesra, penyayang dan ramah dengan rakan-rakan membuatkannya tertarik dengan jejaka itu.
“Penting untuk saya, lelaki yang mahu rapat dan berkawan dengan saya boleh menerima siapa rakan di sisi saya selain daripada keluarga.
“Kami juga serasi kerana perangai lebih kurang sama,” kata gadis berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu.