11street memperkenalkan pasaran dalam taliannya, www.11street.my sebagai e-mall terkini di Malaysia pada hari ini. Mula ditubuhkan di Korea Selatan pada tahun 2008, 11Street telah berkembang menjadi salah satu pasaran e-dagang terkemuka global dengan 400,000 peniaga melayani kehendak lebih 30 juta pengguna di seluruh dunia. 11street juga ada di Turki dan Indonesia, dikenali sebagai n11 dan elevenia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hoseok Kim memberitahu pelancaran 11Street di Malaysia adalah aspirasi syarikat untuk menawarkan platform membeli-belah dalam talian yang mudah dan boleh dipercayai kepada para pengguna tempatan. Mereka kini boleh membeli pelbagai produk berkualiti pada harga yang cukup kompetitif.
11street menawarkan pilihan kategori produk yang luas seperti Fesyen, Elektronik, Barang-barang Runcit, Kesihatan dan Kecantikan, Kanak-kanak & Bayi, Santai & Sukan, Rumah & Kediaman, Buku & Perkhidmatan serta e-baucar.
“Bagi memberikan pelanggan pengalaman membeli-belah yang bebas tekanan pada harga lebih berpatutan, kami akan menjadi pasaran dalam talian pertama di Malaysia yang menawarkan jaminan harga terendah melalui seksyen ‘SHOKING DEAL’ (tawaran yang mengejutkan). Ia membolehkan pengguna tempatan untuk terus membeli-belah dan pada masa yang sama lebih menjimatkan wang.
Pada majlis pelancaran tersebut, 11Street memperkenalkan dua orang duta rasminya, pelakon terkenal Korea Selatan, Lee Min Ho daripada siri televisyen popular “The Heirs” dan Emily Chan, pelakon filem tempatan yang dikenali melalui wataknya sebagai “Mimi” dalam filem “Kaki Kitai”.
Menurut Kim, “Lee Min Ho dan Emily Chan dipilih untuk menjadi wajah 11Street kerana kami percaya mereka berdua memang mewakili sasaran audien kami. Penampilan mereka yang ceria, menyenangkan dan mudah didekati akan membuatkan para pelanggan lebih dekat dengan jenama kami.”
“Pelantikan dua orang duta jenama yang khusus bagi pasaran Malaysia ini jelas menunjukkan komitmen kami untuk menawarkan pengalaman membeli-belah dalam talian yang memuaskan dan menyeronokkan.”