Tidak tahan menanggung derita sakit perut sejak sebulan lalu, sehingga perlu dijaga rapi keluarganya, seorang remaja Baling, Kedah ke hospital.
Alangkah terkejut keluarga itu apabila pembedahan mendapati masalahnya berpunca daripada janin kembarnya yang mula berambut panjang dan membentuk tangan dan kaki.
Janin itu “menumpang hidup secara parasit” di dalam perut remaja 15 tahun itu sejak lahir sehingga memaksanya menjalani pembedahan Rabu lalu, lapor akhbar Sinar Harian.
“Remaja itu mengadu berasa sakit di bahagian perut sehingga memerlukan penjagaan eksklusif daripada bapanya.
“Begitu juga apabila hendak tidur dan makan, perlu diurut terlebih dahulu seolah-olah rasa dicucuk di bahagian perut.
“Disebabkan itu, dia juga dikatakan tidak boleh menelan makanan memandangkan apa yang dimakan akan dimuntahkan kembali,” kata sumber terdekat remaja itu kepada akhbar tersebut.
“Keadaannya berlarutan sehinggalah menyebabkan keluarga membawanya ke hospital di mana doktor menyarankan agar pembedahan dibuat dengan segera bagi memulihkannya.”
Tambah sumber, janin yang dikeluarkan itu berambut panjang, selain kaki, tangan dan alat sulit mula terbentuk dan membesar.
Remaja itu pernah menjalani pemeriksaan ketika kecil berikutan saiz perutnya yang membulat, namun doktor tidak melakukan apa-apa pembedahan kerana dia tidak berasa sakit.
Cara makannya juga dikatakan tidak seperti remaja lain kerana dia boleh menikmati makanan dalam kuantiti yang banyak, lapor akhbar itu.
“Pernah sekali dia memberitahu, dia perlu makan banyak-banyak oleh kerana perlu menampung makanan untuk disalurkan kepada ‘kandungan’ dalam perut,” kata sumber lagi.
Namun pergerakan remaja itu agak terbatas ketika masuk ke sekolah menengah kerana tidak mampu lagi menyembunyikan perut yang makin membesar dan malu dengan bentuk badannya.
Walau nampak ganjil, kes ini bukan pertama di dunia. Di India pada 1999, seorang lelaki berusia 36 tahun mengalami gejala seumpama ini. Ia juga pernah dilaporkan terjadi di Inonesia pada 2013.
Fenomena itu dipanggil ‘fetus in fetu‘, atau janin di dalam janin, apabila embrio kembar tidak terpisah sepenuhnya dan membesar di dalam tubuh pasangannya.