Hujan tanpa henti menyebabkan banjir turut memberi impak kepada kesihatan kita. Ini kerana keadaan persekitaran yang tidak bersih menyebabkan makanan dan minuman mudah tercemar. Apabila musim hujan , penyakit berjangkit akan meningkat dan yang mempunyai penyakit kronik pula akan menjadi parah jika tidak diawasi.
Ketika ini kejadian banjir telah melibatkan 8 buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Perlis, Perak, Johor dan juga Negeri Sembilan. Difahamkan jumlah pasukan operasi kesihatan dan perubatan adalah 533 pasukan iaitu 274 perubatan dan 261 pasukan kesihatan yang bertugas untuk menjalankan aktiviti di kawasan semasa banjir.
Sehingga 26 Disember 2014, seramai 3919 mangsa banjir telah diberi rawatan. Pemeriksaan dan rawatan diperolehi daripada pasukan perubatan. Laporan menunjukkan tiada penyakit berjangkit seperti leptospirosis, HFMD, tifoid, measles, denggi atau penyakit berjangkit yang perlu dinotifikasi berlaku di kalangan mangsa banjir.
1. Walaubagaimanapun, KKM juga menjalankan aktiviti pemeriksaan di pusat pemindahan bagi mengesan pembiakan nyamuk, keselamatan dan kualiti makanan, keselamatan mutu air minum dan menjalankan aktiviti pendidikan kesihatan.
2. KKM ingin menasihatkan orang ramai yang tinggal di kawasan-kawasan yang terjejas dengan banjir atau yang berisiko banjir hendaklah sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan-arahan pihak yang berwajib, khususnya keperluan untuk berpindah awal. Ini dapat mengelakkan sebarang kesulitan serta mengelak daripada berlakunya kemalangan dan kehilangan jiwa.
3. Orang ramai juga dinasihati supaya mengelak makan makanan yang tidak dimasak dan hanya minum air yang dimasak atau air botol mineral sahaja.
4. Sila awasi anak-anak supaya tidak bermain air banjir kerana dikhuatiri tercemar dan risiko penyakit berjangkit seperti cirit birit, kolera, tifoid dan leptospirosis.
5. KKM juga menasihatkan orang ramai terutama mangsa banjir termasuklah golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, wanita mengandung , wargatua serta mereka yang mengidap penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi dan lain-lain yang memerlukan pemeriksaan serta rawatan susulan yang masih berada di pusat pemindahan.
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: En. Nor Suzaman B. Abdul Rahman
Tel : 013-399 7025 / 03- 8883 3470
Emel: [email protected]
Sumber : mynewshub, Kementerian Kesihatan Malaysia, hype.my, Bernama