Pendermaan organ merupakan satu perkara mulia yang perlu dititikberatkan oleh setiap individu tanpa mengira agama dan bangsa. Namun, kesedaran mengenai perkara ini kurang mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia terutama sekali di kalangan bangsa Melayu.
Menurut Duta Personaliti Pendermaan Organ Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sutradara terkenal Erma Fatima, pendermaan organ merupakan suatu yang mulia dan perlu diterangkan kepada rakyat Malaysia secara lebih meluas dan menyeluruh bagi meningkatkan tahap kefahaman mereka.
“Pada awalnya, saya pun kurang memahami mengenai pendermaan organ ini tetapi selepas didedahkan dengan sebuah hadis yang menggalakkan kita untuk membantu orang apatah lagi menyelamatkan nyawa seseorang, saya berikrar untuk menjadi salah seorang penderma organ.
“Indahnya mengenai pendermaan organ ini adalah kita dapat menyelamatkan nyawa orang lain yang sangat memerlukan demi kelangsungan hidup mereka,” katanya.
Selain Erma, selebriti lain juga dilihat peka terhadap isu pendermaan organ ini. Antaranya ialah Yasmin Hani, Dira Abu Zahar, Beto Kushairy, Sazzy Falak, dan juga Alif Satar.
Apa yang anda perlu tahu tentang derma organ
Pendermaan organ adalah proses memindahkan organ dan tisu daripada penderma yang masih hidup atau telah meninggal dunia kepada pesakit yang mengalami kegagalan organ tahap akhir. Pemindahan organ (transplan) merupakan kaedah rawatan yang terbukti berkesan dan dapat menyelamatkan nyawa. Pemindahan organ tidak akan berlaku sekiranya tiada penderma.
Di Malaysia, hanya penderma yang meninggal dunia secara mati otak sahaja yang boleh mendermakan organ dan tisu. Manakala penderma yang meninggal dunia secara biasa (jantung terhenti) hanya boleh mendermakan tisu.
Proses perolehan organ melibatkan pembedahan yang dijalankan oleh pasukan pakar bedah secara steril (sucihama). Proses ini tidak akan menyebabkan sebarang kecacatan kepada tubuh badan penderma. Selepas pendermaan dijalankan, luka pembedahan akan dijahit dengan sempurna.
Pendermaan organ dan tisu boleh dijalankan di kebanyakan hospital kerajaan dan swasta. Bagi individu yang meninggal di rumah, hanya pendermaan mata boleh dijalankan.
Organ dan tisu yang boleh didermakan
Siapa yang layak menderma organ
Di Malaysia, kanak-kanak dan individu kurang upaya mental tidak dibenarkan untuk menderma organ semasa mereka masih hidup. Banduan juga tidak dibenarkan untuk menderma organ melainkan di dalam keadaan tertentu bagi menyelamatkan nyawa ahli keluarga terdekat. Pendermaan dapat dijalankan bergantung kepada di mana dan bagaimana seseorang penderma itu meninggal dunia. Anggota kesihatan yang terlatih akan menilai kesesuaian organ yang ingin didermakan. Individu yang menghidap penyakit berjangkit seperti HIV, Hepatitis B atau C, Syphilis tidak dibenarkan untuk menderma organ.
Individu yang berusia dibawah 18 tahun perlu mendapat kebenaran bertulis daripada ibubapa atau penjaga untuk berdaftar sebagai pengikrar penderma organ. Pendaftaran untuk menjadi pengikrar penderma organ tidak melibatkan sebarang pembayaran atau pemeriksaan kesihatan.
Jika anda ingin mendaftar dan mengetahui info lebih lanjut, boleh ke laman web Derma Organ atau hubungi Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC) di talian 03-26810681/26810682 atau talian bebas tol 1800-08-9080.