Harga barangan keperluan harian di Malaysia jauh lebih murah berbanding di tiga negara lain di Asia Tenggara iaitu Thailand, Indonesia dan Filipina, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata, hasil tinjauan terbaru yang dijalankannya di Filipina, menunjukkan harga diesel, petrol dan gas petroleum cecair (LPG) di Malaysia secara keseluruhannya 60 peratus lebih rendah berbanding di negara itu.
Sementara harga barangan basah seperti ayam, ikan dan daging serta produk tenusu masing-masing 33 peratus dan 19 peratus lebih murah, katanya.
“Ini membuktikan bahawa apabila kerajaan melaungkan slogan-slogan membantu rakyat, inilah yang dilakukan.
“Jadi tidak timbul isu seperti yang dibangkitkan oleh pembangkang bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak tahu mengawal harga. Pemimpin pembangkang pergilah periksa sendiri harga di negara lain,” katanya kepada pemberita pada majlis jamuan Aidilfitri Sektor Kepenggunaan dan Pengurusan kementerian itu di sini hari ini.
Tinjauan Hamzah ke Filipina baru-baru ini adalah tinjauan siri ketiga yang dilakukannya selepas Thailand dan Indonesia bagi membuat pemantauan harga barangan di negara terbabit.
Katanya laporan penuh mengenai tinjauan itu telah dibentangkan kepada Kabinet hari ini.
“Secara keseluruhannya harga barang basah seperti ikan, ayam dan daging kita lebih rendah daripada tiga negara tersebut, begitu juga dengan tepung, gula, minyak masak dan LPG,” katanya.
Dalam tinjauannya di Jakarta, Indonesia pada bulan lepas, Hamzah dilaporkan berkata barangan keperluan pengguna meliputi makanan dan keperluan harian seperti ikan, ayam, daging, sayur, susu bayi, tepung dan minyak masak di negara itu adalah lebih tinggi antara 20-40 peratus daripada di Malaysia. – Bernama