Kedai permainan Hamleys mengeluarkan satu kenyataan maaf di laman Facebook rasminya berkenaan isu ‘syarat buka tudung nak minta kerja di Hamleys’ yang telah dikeluarkan oleh pelakon dan penerbit terkenal, Datuk Rosyam Nor.
Dalam kenyataan tersebut, Hamleys turut memberi penjelasan bahawa tiada sebarang polisi syarikat yang tidak membenarkan pekerja wanita memakai tudung.
Malah, tindakan disiplin telahpun diambil terhadap pekerjanya yang tidak memberi maklumat tepat kepada anak Rosyam Nor.
“Kami tidak mempunyai sebarang polisi syarikat di mana pekerja wanita tidak dibenarkan memakai hijab/tudung. Kami memang mengalu-alukan semua yang ingin bekerja untuk datang membuat permohonan kerja, tidak kira bangsa atau agama. Setelah disiasat, memang salah seorang pekerja kami yang baru dan tidak mempunyai kuasa untuk menemuduga atau mengambil pekerja, telah memberi maklumat yang tidak betul kepada anak Datuk Rosyam. Tindakan disiplin telah pun diambil terhadap pekerja ini,” kata kenyataan tersebut.
Pada Khamis yang lalu, Rosyam Nor melalui laman Twitter beliau, telah meluahkan rasa tidak puas hatinya mengenai Hamleys yang didakwa meminta anak perempuannya membuka tudung sebagai syarat untuk bekerja di kedai permainan tersebut.
Sumber: The Rakyat Post