Kumpulan pencinta alam, Naturetalksback mengkritik sekumpulan pekerja ladang kelapa sawit di Jalan Bintangor, Sibu, Sarawak kerana memukul Beruang Matahari Malaysia yang tersesat masuk ke ladang.
Dalam kenyataannya di akhbar The Borneo Post Sarawak, yang kemudian dikongsi dengan The Rakyat Post, pentadbir akaun Facebook kumpulan itu Cyren Wong berkata, rakaman kejadian itu dan tindakan pekerja ladang itu tidak berperikemanusiaan.
“Pekerja ladang sepatutnya tahu mereka tidak boleh memukul haiwan berkenaan, apatah lagi ia adalah beruang Matahari di negara kita, di mana bulunya gugur mungkin disebabkan penyakit atau telah didera.
“Mengapa mereka memukul haiwan itu hingga pengsan kemudian baru menghalaunya pergi?” soalnya.
Dalam laporan awal, sekumpulan pekerja ladang terserempak dengan haiwan ‘aneh’ itu selepas ia dikatakan mengejar mereka, pagi semalam.
Bimbang dengan keselamatan mereka, kumpulan pekerja ladang itu memukul haiwan itu hingga pengsan dan apabila sedar semula, mereka menghalaunya ke arah hutan.
Dalam laporan itu juga, spesies haiwan itu tidak dikenalpasti kerana keadaan haiwan itu yang kelihatan agak aneh.
Namun, Wong, pencinta alam sekitar memberitahu The Rakyat Post bahawa haiwan itu adalah Beruang Matahari di mana bulunya gugur mungkin disebabkan penyakit kulit.
“Haiwan di dalam video itu menunjukkan ia mungkin mengalami penyakit kulit. Dengan membebaskan ia kembali ke hutan, ia boleh menjangkiti penyakitnya itu kepada haiwan spesies yang sama,” katanya dan menambah pekerja ladang itu sepatutnya cuba mengurung haiwan itu sehingga pihak berkuasa tiba untuk tindakan selanjutnya.
Namun menurut laporan asal The Borneo Post, pekerja ladang itu tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Wong dan anggota kumpulannya turut marah apabila haiwan itu ditunjukkan seolah-olah haiwan makhluk asing daripada siri ‘X-Files’. Siri X-Files adalah drama fiksyen Hollywood mengenai penyiasatan kes yang tidak selesai melibatkan fenomena paranormal.
Wong turut menambah, kurangnya pengetahuan dalam kalangan orang ramai mengenai spesies haiwan tanah air.
“Sekarang ini, orang ramai terlebih teruja dengan 1,600 beruang panda plastik, tetapi beruang kita sendiri pula dipukul.”
“Kalau haiwan itu bukan beruang tetapi anjing atau kucing yang tidak ada bulu, sudah pasti orang ramai akan marah dan haiwan peliharaan ini sudah tentu mendapat perhatian berbanding beruang tidak berbulu itu,” katanya.
Wong menasihatkan orang ramai yang sekiranya mereka menemui haiwan kehilangan bulu seperti itu, supaya memberitahu pegawai hidupan liar secepat mungkin.
“Haiwan itu sepatutnya dikurung dan pihak berkuasa diberitahu kerana dikhuatiri haiwan itu membawa penyakit dan merebakkan kepada haiwan lain, sedangkan jumlah mereka di hutan, semakin berkurangan,” katanya.
Sumber: The Rakyat Post & SiakapKeli