Pada tengah malam semalam, Gunung Berapi Sinabung di Sumatera Utara telah memuntahkan gas serta lava meletup lebih 50 kali. Hal ini menyebabkan lebih 20,000 penduduk di situ terpaksa dipindahkan ke tempat yang lebih selamat.
Kaum wanita dan kanak-kanak telah dibawa ke tempat lain yang lebih selamat. Setakat ini tiada kehilangan nyawa dilaporkan. Sehingga awal pagi ini, ia masih memuntahkan lava dan gas pada ketinggian 13,000 kaki.
Pihak berkuasa sebelum ini menetapkan zon bahaya pada lingkungan 3 batu namun mereka dijangka akan terus melebarkan zon tersebut. Usaha menyelamat juga dijalankan di dua buah kampung iaitu Jewara dan Pintu Besi yang kini dilitupi dengan debu-debu kesan letupan tersebut. Gunung Sinabung adalah antara 130 gunung berapi yang aktif di Indonesia dan pernah meletus pada September lalu.
Dalam pada itu, jurucakap Kementerian Pengangkutan memaklumkan semua pesawat telah diminta mengelak daripada melalui pergunungan berkenaan. – VIA