Bagai bintang yang terang bercahaya menerangi hening malam, pelakon jelita pujaan ramai Claire Danes berjalan di atas karpet merah Met Gala 2016 sambil menyarungkan rekaan pereka versatile Zac Posen yang berani menyisipkan konsep futurustik pada helaian gaun kembang mirip kepunyaan legenda dongeng Cinderella.
Gaun itu direka istimewa dengan penuh ketelitian, menggunakan janaan dari 30 pek bateri untuk mengeluarkan cahaya pada bahagian skirt kembangnya serta di setiap penjuru bahagian dada.
Pek bateri mini itu dijahit dengan rapi pada kelim bahagian dalam fabrik jenis organza yang digunakan bagi menghasilkan rekaan gaun bercahaya tersebut. Walau bagaimanapun, dek kerana majlis Met Gala tersebut diadakan di kawasan yang terang dengan cahaya lampu sedia ada, gaun Cinderella futuristik yang dipakai Claire itu tidak mampu menonjol seperti yang diharapkan.
Pereka Zac terlebih dahulu berkesempatan memuat naik foto hitam putih gaun yang direkanya itu ke akaun Instagram peribadinya dengan niat sengaja mahu mewujudkan keterujaan dalam kalangan netizen.
Claire menuruni tangga dengan penuh perasaan bagaikan seorang puteri yang baru menjelma dari langit sambil disambut oleh suaminya, Hugh Dancy dan pereka Zac Posen.
Gaun dalam rona biru lembut itu mempunyai potongan leher berbentuk hati melihatkan sedikit lurah yang tidak keterlaluan serta bahagian skirt yang meleret di lantai.
Gaya rambut kuning perang milik Claire yang dipadankan dengan gaun berkenaan adalah ikatan sanggul biasa sambil rambut hadapannya disisir rapi menjadi kembung sedikit, manakala bibirnya diserikan dengan gincu berwarna merah terang untuk membangkitkan keserian pada wajah polosnya.
Ternyata, gaun itu bukan sahaja berjaya menangkap perhatian lensa kamera, malah seluruh warga dunia yang menonton acara bergemerlapan itu di kaca televisyen serta para pengikut tegar media sosial.
Majlis berprestij Met Gala tahun ini telah diacarakan oleh selebriti hangat Taylor Swift, Idris Elba, Editor American Vogue, Anna Wintour dan Ketua Pegawai Rekaan Apple, Jonathan Ive.