Belum pun reda kisah Hanez Suraya yang dikatakan merampas suami seorang wanita iaitu Liyana Manan, semalam timbul berita mengenai Hanez yang telah memfailkan saman terhadap bekas pembantu peribadinya berhubung kenyataan memfitnah dimuat naik dalam laman sosial pada September tahun lalu.
Bekas pembantu peribadinya Mohd Fairus Mohd Lazim, 28, atau lebih dikenali dengan nama Dasha Sultan telah memfitnah dan mengaibkannya menerusi laman sosial Instagram menerusi akaun ‘DashaSultan’ dan Twitter menerusi akaun ‘Dasha_Sultan pada 30 Sept hingga 15 Oktober tahun lepas. Mohd Fairus juga didakwa telah memburukkan pelakon itu kepada rakan lain dan sering menghubungi wartawan untuk menceritakan perihal dirinya.
Pelakon itu juga telah mendakwa Mohd Fairus membuat permohonan maaf kepadanya secara terbuka dalam masa 48 jam dari tarikh penerimaan surat tersebut, namun Mohd Fairus telah memuat naik “tweets” selepas menerima surat itu. Artis itu mendakwa pada 17 Oktober tahun lepas, Mohd Fairus ada berjumpa dengannya dan menyatakan hasrat untuk memohon maaf dan permohonan maaf itu telah dimuat naik Mohd Fairus di Twitter dan Instagram.
Hanez mendakwa selepas permohonan maaf, dia berpendapat bahawa perkara itu telah selesai, namun pada 19 dan 22 Oktober tahun lepas, Mohd Fairus telah “retweet” semula Twitter daripada akaun yang lain bertujuan untuk memalukannya. Hanez mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu membawa maksud dia merupakan seorang pelakon yang sombong, kedekut, tidak menghormati orang lain, mata duitan, lupa diri, sering bermuka-muka dan tidak berfikiran matang.
Dalam pada itu, Hanez menuntut ganti rugi khas, ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, kos, faedah, satu injunksi untuk menghalang defendan daripada terus menyebarkan fitnah terhadapnya dan lain-lain perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. Sebelum ini pula timbul dakwaan Hanez Suraya ingin menyaman pemilik laman Facebook Kami Sokong Liyana Manan kerana mengeluarkan gambarnya dan membuat kenyataan berbaur fitnah dan memalukan. Apa pun kita tunggu!