DiGi Telecommunications Sdn Bhd (DiGi) semalam telah menyampaikan hadiah berupa wang tunai kepada 13 pemenang peraduan Duit Raya RM1,000. Bersempena Aidilfitri tahun ini, pelanggan-pelanggan setia tersebut menerima ganjaran itu setelah menikmati kandungan mudah alih musim perayaan DiGi.
Hadiah berkenaan telah disampaikan di suatu majlis sambutan Hari Raya anjuran DiGi, di mana pelanggan juga berpeluang menemui dan menyertai tazkirah yang disampaikan oleh personaliti agama tempatan, Ustaz Don. Turut hadir dalam keraian itu ialah 30 orang anak-anak yatim dan wakil dari Rumah Anak Cahaya Tengku Ampuan Rahimah (RACTAR).
Selain daripada sesi tazkirah, para pelanggan juga dihiburkan oelh persembahan dari artis remaja Ali’Din, penyanyi sensasi YouTube, Tasha Manshahar dan Syed Shamim, Ustaz Robby Tandang, Zalee Redang dan Kumpulan Nasyid Damai.
Peraduan Duit Raya RM1,000 yang telah diadakan dari 29 Jun sehingga 24 Ogos 2014 memberi peluang kepada pelanggan pelan pascabayar dan prabayar DiGi untuk menjadi salah seorang daripada tiga (3) pemenang mingguan memenangi wang tunai bernilai RM1,000. Pelanggan hanya perlu melanggan Ramadan & Raya CallerTunes DiGi dan saluran video Ustaz Don untuk merebut peluang memenangi hadiah mingguan yang ditawarkan. Peraduan itu telah dianjurkan dengan kerjasama Forest Interactive, Universal Music Malaysia, Warner Music Malaysia, Sony Music Entertainment Malaysia, One Stop Music Berhad dan Zed Mobile Sdn Bhd.