Review :
Karakter fiksyen klasik dan popular ,Tarzan, sekali lagi telah diangkat di layar perak. Bermula dengan Tarzan, the Ape Man ( 1981), Greystoke: The Legend of Tarzan, Lord of the Apes (1984) dan Tarzan and the Lost City (1998), kini watak ini difilemkan sekali lagi, pada tahun 2014 dengan tajuk ringkas, Tarzan. Watak daripada buku klasik Tarzan of The Apes (1914) karya Edgar Rice Burroughs ini dipersembahkan secara animasi buat kali kedua .Sebelum ini produksi tersohor Walt Disney terlebih dahulu menganimasikan karekter ini dalam Tarzan and Jane (1999).
Berbeza dengan Tarzan and Jane, filem Tarzan terbitan Constantin Film ini dipersembahkan dengan kualiti gambar yang jauh lebih baik dan menggunakan teknologi CGI, jadi penonton dapat menikmati sinematografi yang lebih “sharp” dan memuaskan. Kesan CGI dalam filem ini juga menjadikan aksi lasak dan mencabar dalam hutan tebal yang melibatkan karekter haiwan- haiwan buas seperti ular dan gorila dipaparkan dengan lebih “real” lagi.
Kesan dimensi grafik dalam filem ini juga akan “membawa” penonton turut sama merasai perasaan jungle adventure ketika menonton. Gambaran yang penulis boleh berikan adalah ketika aksi Tarzan melakukan aksi terjunan dan melompat daripada pokok ke pokok dan juga serangan ular dan buaya. Inilah kelainan yang dibawa Tarzan atau Tarzan 3D berbanding filem Tarzan versi sebelumnya. Maka mungkin inilah sebabnya mengapa filem ini mendapat klasifikasi PG 13.
Masih mengekalkan plot dan karekter asli fiksyen Tarzan, jalan cerita Tarzan cuma mendapat beberapa penambahan plot yang kecil seperti elemen-elemen moden dan futuristik, bersesuaian dengan zaman dan kecanggihan teknologi yang digunakan
Tidak banyak yang penonton boleh harapkan daripada segi skrip dan jalan penceritaan yang sedikit klise. Dalam erti kata lain, Tarzan tetap Tarzan. Walaubagaimanapun nilai-nilai murni dan kekeluargaan yang diselitkan menjadikan filem ini sesuai untuk dijadikan tontonan seisi keluarga dan kesan CGI yang dijadikan taruhan menyebabkan filem ini masih berbaloi untuk ditonton di pawagam.
Tarzan akan menemui penonton pada hari Khamis, 20 Mac 2014 ( ESOK) di seluruh pawagam berhampiran anda.
Sinopsis :
Filem ini adalah berdasarkan cerita klasik “Tarzan Of The Apes” yang ditulis oleh Edgar Rice Burroughs. “Tarzan 3D” ialah sebuah filem animasi keluarga yang dibintangi Kellan Lutz, Spencer Locke, Anton Zetterholm dan Jaime Ray Newman. Filem ini berkisarkan perjuangan Tarzan dan Jane Porter dalam menentang tentera yang dihantar oleh Ketua Pegawai Eksekutif Greystoke Energies. Ketua Pegawai Eksekutif CEO Greystoke Energies merupakan lelaki yang mengambil alih syarikat Greystoke Energies selepas kematian ibubapa Tarzan dalam kemalangan kapal terbang.
Rating : 3/5 bintang
Klasifikasi: P13
Genre: Animasi / Kekeluargaan
Tarikh Tayangan: 20 Mac 2014
Bahasa: English
Pengedar: NUSANTARA EDARAN FILEM
Pengarah: Reinhard Klooss
Pelakon: Kellan Lutz, Spencer Locke, Anton Zetterholm, Jaime Ray Newman