Banyak menimba pengalaman sepanjang bekerjasama dengan seorang pereka terkenal di Malaysia, Farah Salleh kini melancarkan jenamanya sendiri, yang menggabungkan idea fesyen yang glamor dengan rekaan lebih segar, selesa dan mengikut aliran terkini.
Menggunakan teknik rekaan yang teliti, selain perhatian penuh diberikan bagi menghasilkan perincian hebat, jelas menonjol dan boleh dilihat pada koleksi pertama jenama Farah Salleh.
Nilai estetika koleksi berkenaan banyak dipengaruhi oleh kebudayaan Indonesia, selain menepati kehendak pereka yang mahukan penampilan kemas, ringkas dan lebih istimewa untuk menghasilkan imej yang dinamik dan anggun khususnya buat koleksi pertama ini.
Dalam menghasilkan rekaan yang menarik, Farah Salleh mendapat ilham daripada pelbagai perkara indah dalam hidup seperti seni bina, kebudayaan, kesenian dan dekorasi, seterusnya diterapkan ke dalam koleksinya yang mewah.
Koleksi Resort RTW 2015 dari Farah Salleh menampilkan tenun sebagai fabrik pengenalannya yang eksklusif. Menurut Farah, dia jatuh hati pada fabrik tenun yang berasal dari Indonesia. Tenun dipilih untuk menghasilkan koleksi ini kerana ia tidak mudah berkedut dan memudahkan kerja mencuci.
“Ia mempunyai ciri tersendiri, keistimewaan dan sebahagian besarnya dihasilkan dengan tangan. Setiap helaian fabrik tenun mengambil masa yang lama untuk dihasilkan. Ini adalah cara saya menunjukkan sanjungan iaitu dengan menjadikan tenun lebih menarik dan sesuai untuk semua acara.”